Op Tiris: KPDN sita 58,351 liter diesel bersubsidi di kawasan nelayan di Manjung
Abd Razak Mohd Ali
April 13, 2023 11:20 MYT
April 13, 2023 11:20 MYT
MANJUNG: Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita 58,351 liter diesel bersubsidi dalam dua operasi di kawasan nelayan di sini, semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalluddin Ismail berkata, serbuan dilakukan dua pasukan KPDN Cawangan Manjung, yang dibantu anggota polis, kira-kira jam 11 pagi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas dua premis menemui lima skid tank yang di dalamnya terdapat cecair yang disyaki minyak diesel.
“Arahan Pengisytiharan Stok dan Mengemukakan Maklumat/Dokumen di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) telah dikeluarkan terhadap kedua-dua premis berkenaan.
“Hasilnya, mendapati premis ini tidak mempunyai lesen yang sah bagi aktiviti menjual minyak diesel secara runcit dan ini merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, seramai empat individu warga tempatan telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, kesemua barangan dokumen dan cecair yang disyaki minyak diesel dengan anggaran sebanyak 58,351 liter telah disita.
Katanya, nilai keseluruhan barang rampasan adalah berjumlah RM96,279.15
Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974.