Op Taring: PDRM rampas senjata tiruan, hidupan liar tanpa permit dan ubatan tanpa kelulusan
Afiezy Azaman
Disember 21, 2024 11:20 MYT
Disember 21, 2024 11:20 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Wildlife Crime Bureau (WCB) dan Pasukan Perisikan Siasatan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) berjaya melaksanakan dua operasi berasingan melibatkan rampasan senjata tiruan, hidupan liar tanpa permit dan ubat-ubatan tanpa kelulusan.
Menurut Pengarah JKDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim, operasi pertama pada 17 Disember di Kota Bharu, Kelantan, berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan bersama 32 laras senjata tiruan.
Katanya, pemeriksaan lanjut menemui dua ekor burung murai batu yang disimpan tanpa permit sah serta beberapa kotak ubat-ubatan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Kes disiasat di bawah Akta Senjata 1960, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), dan Peraturan 1(a) Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
"Sementara itu, operasi kedua pada 18 Disember di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, menyaksikan penahanan seorang lelaki tempatan dan dua warga asing.
"Sebanyak 637 laras senjata tiruan berjaya dirampas dan kes disiasat di bawah Akta Senjata 1960," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Azmi berkata, jumlah keseluruhan rampasan bagi kedua-dua operasi dianggarkan bernilai RM436,971.
Beliau menegaskan PDRM akan mempergiatkan risikan dan operasi bagi membanteras aktiviti jenayah ini demi keselamatan masyarakat.
Beliau juga menggesa orang awam untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah ini.
"Orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti jenayah melalui talian kecemasan atau menghubungi pihak berkuasa terdekat," ujarnya.