Op Tapis: Polis rampas dadah bernilai lebih RM800,000

Bernama
Ogos 14, 2022 18:28 MYT
Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun (dua, kanan) bersama para pegawai menunjukkan pelbagai jenis dadah yang berjaya dirampas dalam Ops Tapis Bersepadu pada sidang media di IPK Kelantan hari ini. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan bersama Pasukan Zon 1 Bukit Aman berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM814,612.25 dan menahan 301 penagih serta pengedar dadah menerusi Op Tapis Bersepadu yang dijalankan selama tiga hari bermula Khamis lalu.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, rampasan terbesar ketika operasi itu adalah melibatkan penahanan dua suspek lelaki warga tempatan berusia 53 dan 34 tahun di sebuah rumah dekat Jalan JKR Pasir Mas pada jam 6 petang, kelmarin.
"Hasil pemeriksaan menemukan dadah jenis ganja seberat 453.75 gram (gm), 50gm heroin, 40 biji pil psikotropik dan tiga biji pil Eramin 5 yang kesemuanya bernilai RM27,780.
"Polis juga telah menyita sebuah kenderaan jenis Nissan Grand Livina yang dianggarkan bernilai RM50,000. Kedua-dua suspek juga didapati positif Methamphetamine serta mempunyai rekod jenayah berkaitan narkotik," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata kedua-dua suspek yang ditahan itu direman selama tujuh hari bermula 13 hingga 19 Ogos ini untuk siasatan lanjut merngikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek itu juga, polis kemudiannya membuat serbuan susulan pada jam 7 malam hari yang sama dekat sebuah rumah di Kampung Demit, Kubang Kerian, di sini.
"Dalam serbuan tersebut tiada tangkapan dilakukan tetapi hasil pemeriksaan di dalam rumah telah menemukan dadah jenis ganja seberat 3,000gm, 3,050gm heroin, 800 biji pil Eramin 5, 2,000 biji pil Yaba dan 24.37gm syabu yang dianggarkan bernilai RM499,832," katanya.
Sementara itu, Muhamad Zaki berkata dalam serbuan berasingan di Flat Sri Guchil, Kuala Krai pada jam 10.45 malam, Jumaat, pihaknya turut berjaya menahan seorang buruh berusia 23 tahun warga tempatan dan merampas 18,000 pil Yaba bernilai RM180,000.
"Polis juga telah menyita sebuah kereta Honda Jazz dianggarkan bernilai RM20,000 dan wang tunai RM1,000.
"Suspek yang turut positif dadah jenis Methamphetamine serta mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah telah direman selama tujuh hari bermula 13 hingga 19 Ogos untuk siasatan lanjut," katanya.
-- BERNAMA
#JSJN Kelantan #Op Tapis #Dadah #Polis Kelantan
;