Op Tapis: 22 sarang 'mat gian' diserbu, 537 individu diserkup
Bernama
Oktober 13, 2023 21:45 MYT
Oktober 13, 2023 21:45 MYT
IPOH: Polis menahan 537 individu disyaki terlibat dalam pelbagai kesalahan dadah susulan serbuan ke atas 22 'sarang' penagih dadah di sini dalam Op Tapis Khas yang dilaksanakan selama tiga hari berakhir semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Sri Mohd Yusri Hassan Basri berkata sejumlah dadah pelbagai jenis yang keseluruhannya bernilai lebih RM50,000 termasuk daun dan cecair ketum turut dirampas dalam operasi tersebut.
"Tumpuan operasi kali ini adalah di sarang-sarang penagih dadah yang dikenal pasti di skim perumahan Felda, Felcra, PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin), PPR (Projek Perumahan Rakyat), kawasan perumahan, mobile pot dan lain-lain yang menjadi sarang (penagih).
"Op Tapis Khas ini diadakan bagi melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalagunaan dadah yang menjadi masalah sosial serta kegusaran dalam kalangan masyarakat masa kini," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya kesemua suspek yang ditahan berumur lingkungan 19 hingga 67 tahun dan seramai 49 daripada mereka ditahan di bawah kesalahan pengedaran dadah, manakala 177 orang bagi kesalahan memiliki dadah.
POLIS-OP TAPIS 2 (AKHIR) IPOH
"Seramai 275 penagih telah disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan 14 telah ditahan di bawah seksyen 3 (1) ADB (langkah-langkah pencegahan khas) 1985, manakala 22 lagi yang dikategorikan sebagai orang yang dikehendaki juga telah ditangkap," katanya.
Mohd Yusri berkata daripada keseluruhan tangkapan, pihaknya juga berjaya mengenal pasti 17 orang penagih dadah tegar yang akan diambil tindakan di bawah seksyen 39c ADB 1952.
Menurutnya polis turut menyita tiga kereta, sembilan motosikal dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan rampasan RM143,360.
"Kejayaan ini adalah hasil kerjasama berterusan antara masyarakat dan agensi penguatkuasaan khususnya polis.
"Polis menyeru orang ramai terus menyalurkan informasi berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah agar tindakan pembanterasan dapat dipertingkatkan bagi memastikan Perak bebas daripada jenayah ini," katanya.
-- BERNAMA