Op Sky: Tiga selebriti hadir ke SPRM esok
Sinar Harian
Februari 5, 2025 16:01 MYT
Februari 5, 2025 16:01 MYT
KUALA LUMPUR: Tiga selebriti akan hadir memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis, bagi membantu siasatan membabitkan sindiket syarikat perunding kewangan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, mereka akan hadir pada jam 10 pagi di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
"Kami memanggil mereka untuk membantu siasatan berhubung Op Sky.
"Ini tak bermaksud mereka adalah suspek. Mereka hanya dipanggil untuk dirakam keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan," katanya pada Rabu.
Ahad lepas, Azam mengesahkan pihaknya akan memanggil selebriti terbabit termasuk seorang artis terkenal yang dikaitkan dengan syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Op Sky.
Januari lalu, SPRM berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Ia hasil penahanan 12 individu dalam serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi menerusi Ops Sky, meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan sebanyak RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam dan modus operandi dipercayai mempunyai unsur rasuah dan pengubahan wang haram.
Kegiatan rasuah dilakukan oleh pegawai institusi perbankan yang membantu memproses serta meluluskan permohonan pinjaman peribadi pelanggan melalui sebuah syarikat perunding kewangan.
Pegawai terbabit dipercayai menerima rasuah daripada syarikat perunding kewangan yang menyediakan dokumen dipercayai mengandungi maklumat palsu pelanggan yang ingin membuat pinjaman peribadi.
Artikel ini diterbitkan di portal Sinar Harian