Op Sky: Tiga selebriti dirakam keterangan, SPRM fokus lengkapkan siasatan

Bernama
Februari 7, 2025 12:30 MYT
Tan Sri Azam Baki mengesahkan ketiga-tiga selebriti berkenaan telah hadir ke Ibu Pejabat SPRM semalam bagi melengkapkan siasatan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ini memberi tumpuan melengkapkan kertas siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung Op Sky membabitkan syarikat perunding kewangan.
Menurut sumber usaha melengkapkan kertas siasatan itu menjadi keutamaan selepas pihaknya selesai merakam percakapan tiga selebriti termasuk penyanyi terkenal di Ibu Pejabat SPRM di sini semalam berhubung siasatan kes itu.
Sumber berkata ketiga-tiga selebriti hadir melalui pintu utama dan bukan mengikut pintu belakang seperti mana dilaporkan oleh media bagi memberi maklumat dan membantu siasatan.
"Setakat ini SPRM telah selesai mendapatkan maklumat daripada mereka dan fokus sekarang adalah untuk melengkapkan siasatan.
"Mereka hadir 9.30 pagi semalam dan selesai memberi maklumat sekitar 2.30 petang. Buat masa ini juga tiada tangkapan baharu dilakukan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan ketiga-tiga selebriti hadir bagi melengkapkan siasatan membabitkan kes berkenaan.
Sebelum ini, Azam dilaporkan berkata siasatan mendapati selebriti dan artis terbabit menerima wang bayaran hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat itu bagi tujuan promosi.
SPRM, dalam operasi baru-baru ini menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram yang membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan, melalui Op Sky.
Operasi Op Sky yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM), berjaya menahan 12 individu dalam serbuan di 24 lokasi termasuk kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada Isnin.
Setakat ini, 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit serta seorang orang awam. Kesemua mereka telah dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Dalam operasi tersebut, SPRM merampas kira-kira 4,000 dokumen dan membekukan 98 akaun bank yang melibatkan lebih RM17 juta.
-- BERNAMA
#Op Sky #SPRM #selebriti #Azam Baki
;