Op Sky: Jalaluddin Hassan, Ziana Zain, Dr Sheikh Muszaphar selesai beri keterangan 4 jam
Umavathi Ramayah
Februari 6, 2025 16:05 MYT
Februari 6, 2025 16:05 MYT
Keterangan diambil selama hampir empat jam dan selebriti terbabit telah memberi kerjasama penuh.- Gambar fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai merekod keterangan tiga selebriti yang dikaitkan dengan syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam operasi Op Sky.
Ringkasan AI
- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merekod keterangan tiga selebriti yang dikaitkan dengan syarikat perunding kewangan dalam operasi Op Sky.
- Keterangan diambil selama hampir empat jam dan selebriti memberi kerjasama penuh. SPRM juga akan memanggil beberapa individu lain untuk membantu siasatan.
- Siasatan SPRM turut meneliti jumlah bayaran yang diterima selebriti sebagai pempengaruh syarikat perunding kewangan tersebut, yang didakwa memperdayakan peminjam bank.
Mereka yang direkodkan keterangan adalah artis legenda, Datuk Jalaluddin Hassan, Siti Roziana Zain atau lebih dikenali Ziana Zain dan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, keterangan mereka diambil hampir empat jam bermula pukul 10 pagi Khamis dan mereka memberi kerjasama penuh sepanjang prosiding.
"Kita boleh panggil semula mereka sekiranya kita masih memerlukan sebarang maklumat sebarang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Azam turut memaklumkan akan memanggil beberapa lagi individu termasuk pihak perbankan dan syarikat perunding kewangan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
Terdahulu, dalam sidang media, beliau memaklumkan SPRM memperluas skop siasatan termasuk meneliti jumlah bayaran diterima tiga selebriti yang menjadi menjadi pempengaruh kepada syarikat perunding kewangan itu.
Menurutnya, siasatan itu bagi melihat sekiranya ada sebarang isu yang mencurigakan berhubung perkara itu.
SPRM sebelum ini mendedahkan beberapa selebriti dalam siasatan kerana pembabitan dengan sebuah syarikat perunding kewangan yang bersekongkol dengan pegawai bank tempatan bagi memperdayakan ramai peminjam bank, termasuk ribuan penjawat awam melalui pinjaman bertindih.
Difahamkan, selebriti terbabit didakwa dibayar hingga ratusan ribu ringgit bagi menggunakan wajah mereka untuk meyakinkan orang awam menggunakan perkhidmatan syarikat itu.