Op Selat: Pegawai Imigresen nafi terima suapan lebih RM800,000
Shuhada Abdul Kadir
Januari 26, 2021 15:02 MYT
Januari 26, 2021 15:02 MYT
SEREMBAN: Seorang pegawai Imigresen yang ditahan menerusi Op Selat November lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, atas 12 pertuduhan menerima suapan bernilai lebih RM800,000 dan terbabit dalam pengubahan wang haram bagi mendapatkan cap perakuan keluar masuk negara membabitkan warga asing.
Tertuduh, Mohd Shah Ezywan Abd Rahman, 34 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus semua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Madiha Harullah.
Mengikut lapan pertuduhan menerima suapan, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Pegawai Imigresen Gred KP19 didakwa menerima wang tunai berjumlah RM885,950 daripada Ong Bok Hay dan Mohamad Jeffry Mohd Zin yang mana dia mengetahui kedua-dua mereka mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.
Kesalahan itu dilakukan di Malayan Banking Berhad cawangan Nilai, Negeri Sembilan menerusi beberapa transaksi berasingan antara Januari 2017 hingga Mac 2020 lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai sama, di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM5 juta atau mana lebih tinggi.
Hakim Madiha pada penghakimannya menetapkan jaminan sebanyak RM65,000 serta syarat tambahan kepada tertuduh untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak menganggu saksi yang terlibat.
Mahkamah turut menetapkan 26 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Shaharuddin bin Wan Ladin, manakala tertuduh diwakili peguam Afifuddin Ahmad Hafifi.
Untuk rekod, tertuduh adalah antara pegawai Imigresen yang ditahan SPRM pada November tahun lalu menerusi Op Selat, berhubung pemalsuan cap kemasukan bagi melintasi sempadan negara.