Op Selamat: Purata jumlah kemalangan menurun berbanding hari biasa

Bernama
Februari 6, 2016 08:38 MYT
NOOR RASHID: Purata jumlah kematian sehari juga menurun sebanyak 18.4 peratus daripada 18 kematian sebelum Op Selamat ini dilancarkan berbanding 15 kematian sehari pada Op Selamat 8/2016. -Gambar fail
Purata kemalangan yang dicatatkan setiap hari sepanjang empat hari Op Selamat 8/2016 yang dilancarkan sejak Isnin lepas mencecah 1,524 kes.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 26 kes iaitu 1.7 peratus berbanding purata 1,550 kes kemalangan setiap hari pada hari biasa.
"Purata jumlah kematian sehari juga menurun sebanyak 18.4 peratus daripada 18 kematian sebelum Op Selamat ini dilancarkan berbanding 15 kematian sehari pada Op Selamat 8/2016.
"Bagaimanapun, angka ini belum muktamad, hasil keseluruhan akan dimaklumkan selepas Op Selamat tamat pada 16 Februari nanti," katanya pada sidang media Kempen Keselamatan Jalan Raya Op Selamat 8/2016 sempena Tahun Baru Cina, di Plaza Tol Litrak, di sini pada Jumaat.
Noor Rashid berkata polis bersama pihak konsesi lebuh raya serta agensi lain terlibat telah membuat pelbagai perancangan bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar dan pengguna selamat sampai ke destinasi.
"Antaranya, lencongan akan dibuat ke laluan alternatif yang kurang sesak sekiranya berlaku kesesakan kritikal dan meletakkan papan tanda arah sebagai panduan kepada pengguna jalan raya menuju destinasi," katanya.
Noor Rashid berkata syarikat konsesi lebuh raya juga bersetuju untuk membuka lorong tambahan di plaza tol di samping polis mengawal lampu isyarat keluar dari tol.
"Pasukan pemantau kesesakan akan bergerak dan akan mengambil tindakan serta-merta kepada pengguna yang memotong menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan serta melakukan kesalahan lain," katanya.
Noor Rashid menasihatkan pengguna jalan raya agar memandu dengan lebih berhati-hati sempena musim perayaan Tahun Baru Cina pada minggu depan.
Turut hadir dalam majlis itu Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia Datuk Ismail Md Salleh.
#kemalangan jalan raya #Noor Rashid Ibrahim #Op Selamat #Purata kemalangan #Tahun Baru Cina
;