Op Selamat 9/2016: Polis tubuh empat subtek bantu kelancaran operasi

Bernama
Jun 30, 2016 07:22 MYT
Empat subtek berkenaan berfungsi untuk menyediakan laporan, statistik, carta, maklumat terkini aliran pergerakan trafik dan menjadi koordinasi antara bilik gerakan trafik di Bukit Aman. - Gambar hiasan
Polis menubuhkan empat subtek (pusat operasi) di empat zon utama negara bagi membantu kelancaran Op Selamat sempena Aidilfitri.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Datuk Mahamad Akhir Darus berkata empat subtek berkenaan dibahagikan kepada Zon Utara di Sekolah Latihan Asas Sungai Petani, Kedah; Zon Tengah di Batalion (Bn) 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Bidor, Perak; Zon Selatan di Bn 6 PGA Bakri, Muar, Johor dan Zon Timur di Bn 7 PGA Bukit Galing, Kuantan, Pahang.
"Keempat-empat zon ini meliputi keseluruhan kontinjen di Semenanjung Malaysia dan subtek yang terlibat dijadikan sebagai pusat kawalan.
"Berikutan itu, ia berfungsi untuk menyediakan laporan, statistik, carta, maklumat terkini aliran pergerakan trafik dan menjadi koordinasi antara bilik gerakan trafik di Bukit Aman," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Op Selamat 9/2016 di Menara 1, Bukit Aman, di sini, pada Khamis.
Mahamad Akhir berkata penugasan yang dijalankan meliputi kawalan subtek dan pasukan rondaan/pemantau (strike force).
"Di pusat kawalan subtek kekuatan terdiri daripada dua pegawai polis yang berpangkat Supt dan DSP yang bertindak sebagai Ketua Operasi dan Timbalan Ketua Operasi manakala di pusat kawalan pula ada urus setia dengan kekuatan 15 anggota dan pegawai yang bertugas mengikut syif.
"Mereka ini bertugas dengan pusingan tugas 12 jam setiap syif memantau pergerakan aliran trafik," katanya.
Mahamad Akhir berkata Op Selamat kali ini menggunakan pendekatan 'total enforcement' dan 'services' serta memberi tumpuan di kawasan 'black spot' bertujuan mengurangkan kadar kemalangan maut dan melancarkan aliran trafik.
"Penekanan op kali ini memfokuskan penguatkuasaan undang-undang jalan raya tanpa sebarang kompromi terutamanya kesalahan (memandu di) lorong kecemasan dan potong barisan," katanya.
Susulan itu, polis telah mengenal pasti sebanyak 78 lokasi 'black spot' di sekitar Jalan Persekutuan yang banyak berlaku kemalangan.
Mahamad Akhir berkata dalam konteks op ini, pihaknya menggembleng usaha bersepadu melalui 'Emergency Response Team' yang terdiri daripada pelbagai agensi antaranya Telekom Malaysia, Lembaga Lebuhraya, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Kerja Raya.
Sementara itu, statistik kadar kemalangan pada op lepas iaitu Op Selamat 7/2015 meningkat iaitu 20,458 kes berbanding Op Selamat 5/2015 iaitu 18,484 kes.
Jumlah kemalangan maut turut meningkat kepada 303 kes pada 2015 berbanding 217 bagi tahun 2014 dalam op yang sama.
"Peningkatan ini menunjukkan sikap pemandu dan penunggang tidak berubah dengan terus memandu laju serta cuai dengan membahayakan pengguna jalan raya yang lain," katanya.
#Aidilfitri #empat zon utama #Mahamad Akhir Darus #Op Selamat #pusat operasi #subtek
;