Op Selamat: 342 saman potong barisan, langgar lampu isyarat merah dikeluarkan

Adie Sufian Zulkefli
April 30, 2022 07:00 MYT
Polis Kedah mengeluarkan 342 saman membabitkan kesalahan memotong barisan dan langgar lampu isyarat merah sepanjang Op Selamat 18/2022 dalam tempoh dua hari menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri. -Astro AWANI
ALOR SETAR: Polis Kedah mengeluarkan 342 saman membabitkan kesalahan memotong barisan dan langgar lampu isyarat merah sepanjang Op Selamat 18/2022 dalam tempoh dua hari menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah, Superintendan Mohd Mahiri Hussin berkata, kesalahan yang dilakukan itu adalah antara penyumbang terbesar kemalangan yang boleh mengundang maut.
"Dalam dua hari ini, sebanyak 229 saman kesalahan tidak berhenti di lampu isyarat merah kita telah ambil tindakan.
"Untuk potong barisan sebanyak 113 saman telah kita keluarkan kepada pengguna yang tidak patuh pada kepada peraturan lalu lintas.
"Kita akan terus mempertingkatkan bagi dua kesalahan ini, potong barisan dan tidak berhenti di lampu merah di mana dua-dua kesalahan ini menyumbang kepada kemalangan.
"Membahayakan diri sendiri dan juga pengguna jalan raya lain," katanya.
Menurut Mohd Mahiri, dua kematian dicatatkan di negeri ini melibatkan kemalangan sebuah lori terbabas di Kilometer 62 Lebuhraya Utara Selatan di Pendang.
Manakala satu lagi kemalangan membabitkan seorang remaja berusia 19 tahun yang menunggang motosikal di Langkawi.
Terdahulu Mohd Mahiri melakukan operasi Op Kenderaan Perdagangan membabitkan bas ekspres di Lebuhraya Sultanah Bahiyah, malam tadi.
Turut sama dalam operasi, Timbalan Pengarah kanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kedah, Nasru'ddin Abd Rahman.
Dalam operasi itu, sebanyak 20 bas ekspres yang bergerak dari Terminal Bas Shahab Perdana, Mergong diperiksa.
Mohd Mahiri berkata, empat buah bas dikesan didapati mengambil penumpang di luar terminal bas.
Daripada jumlah itu, lapan pemandu bas termasuk pemandu simpanan melakukan kesalahan tidak menjalani ujian saringan air kencing di terminal bas.
Namun ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua pemandu bas ekspres terbabit negatif.
#lampu merah #potong barisan #Op Selamat #saman lalu lintas
;