Op Selamat 23: Lebih 100,000 saman trafik dikeluarkan
Bernama
Februari 2, 2025 18:15 MYT
Februari 2, 2025 18:15 MYT
TAPAH: Polis telah mengeluarkan 104,235 saman melibatkan pelbagai kesalahan trafik dalam Op Selamat 23 setakat semalam, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 49,339 saman membabitkan enam kesalahan utama iaitu melebihi had laju dengan 44,940 saman, diikuti melanggar lampu isyarat (2,034), memandu menggunakan telefon bimbit (869), memandu di lorong kecemasan (602), memotong barisan (573) dan memotong di garisan berkembar (321).
Setakat semalam juga, beliau berkata statistik menunjukkan penurunan pengeluaran saman trafik yang dikeluarkan pihak polis bagi tempoh yang sama berbanding tahun sebelumnya.
"Jadi kita akan buat kajian adakah (penurunan) pengeluaran saman ini disebabkan oleh sikap pengguna yang menghormati peraturan jalan raya ataupun kempen keselamatan, advokasi pencegahan yang kita lakukan sebelum ini.
Mohd Yusri berkata bagi pelaksanaan Op Selamat 23 yang bermula sejak 28 Jan lepas itu, pihak JSPT telah menempatkan 3,609 pegawai dan anggota untuk memastikan penugasan operasi berjalan lancar dan mencapai objektif.
Beliau berkata tujuan utama operasi itu adalah untuk meminimumkan kes kemalangan jalan raya, memastikan kelancaran aliran trafik dan mencegah jenayah pecah rumah ketika musim perayaan berkerjasama dengan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.
"Jadi pendekatan daripada JSPT adalah berteraskan kepada penguatkuasaan sepenuhnya dan penyampaian perkhidmatan.
"Kita mahu menguatkuasakan undang-undang untuk kita memastikan ataupun membendung peningkatan kes kemalangan dan yang mengakibatkan kemalangan maut selain menguruskan kelancaran aliran lalu lintas ataupun trafik," katanya.
Beliau berkata sepanjang Op Selamat 23, pihaknya telah mengenal pasti 407 lokasi hotspot iaitu kawasan yang berlaku kesesakan dan 76 lokasi blackspot (kawasan yang sering berlaku kemalangan) melibatkan jalan Persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran dan lain-lain.
Mohd Yusri berkata ia termasuk 25 lokasi hotspot dan 17 lokasi blackspot di kesemua lebuh raya seluruh negara.
"Sebab itu kita telah menubuhkan pasukan ERT (Pasukan Tindakan kecemasan), kita tumpukan 14 pasukan sepanjang lebuh raya untuk mengambil tindakan tersebut (pemantauan secara berterusan bagi memastikan kelancaran dan halangan di sepanjang lebuh raya dapat diatasi dengan cepat).
"Mengikut sumber yang kita terima daripada pihak PLUS (Lebuhraya Utara-Selatan), untuk hari ini dijangka kenderaan yang melalui lebuh raya lebih kurang 1.82 juta. Jadi, kami daripada pasukan ERT, JSPT dan agensi lain memohon serta merayu supaya semua pengguna jalan raya dapat bersabar dan mematuhi peraturan jalan raya," katanya.
"Kita telah memberikan kempen advokasi melalui media, saluran media sosial dan sebagainya. Mereka (pengguna) telah membuat langkah atau perancangan perjalanan dari awal dan bersedia menghadapi situasi yang dijangka (kesesakan jalan raya)," katanya.
-- BERNAMA