Op Selamat 21: Jumlah kemalangan, kemalangan maut menurun pada 2024
Ridauddin Daud
Februari 16, 2024 16:47 MYT
Februari 16, 2024 16:47 MYT
KUALA LUMPUR: Jumlah kemalangan dalam Op Selamat 21 merekodkan penurunan sebanyak 10 peratus berbanding Op Selamat 19 pada tahun lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Komisioner Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, sebanyak 8,501 kes direkodkan tahun ini berbanding 9,407 kes pada 2023.
Menurutnya, kes kemalangan maut turut merekodkan penurunan dengan 86 kes berbanding 87 kes pada tahun lepas.
Jumlah kenderaan terlibat dalam kemalangan juga berkurang dengan 10,715 direkodkan pada tahun ini, menurun sebanyak 14 peratus atau 1,699 buah kenderaan.
“Berdasarkan kajian dari jumlah kemalangan yang direkodkan, antara punca utama berlakunya kemalangan adalah dengan mengekori rapat kenderaan lain di hadapan, disusuli akibat tidak peka dan prihatin sehingga terbabas sendiri.
“Punca ketiga tertinggi ialah tidak perasan ada kenderaan atau objek lain di hadapan atau sebelah kenderaan.
“Faktor lain yang menjadi penyumbang utama kemalangan ialah cuai ketika keluar dan masuk simpang, cuba memotong kenderaan dan tukar lorong serta lain-lain,” katanya pada sidang media hari ini.
Tambah beliau, jalan bandaran menyumbang peratusan tertinggi kepada kemalangan oada tahun ini dengan 3,640 kes (43 peratus), diikuti jalan negeri, jalan Persekutuan dan lebuh raya.