Op Selamat 19: Tujuh kematian akibat kemalangan jalan raya di Johor sejak Rabu lepas

Bernama
Januari 21, 2023 18:40 MYT
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata dalam tempoh itu juga 852 kes kemalangan dilaporkan dengan 438 daripadanya membabitkan jalan bandaran. - Gambar fail/BERNAMA
JOHOR BAHRU: Enam kemalangan maut membabitkan tujuh kematian direkodkan di Johor setakat hari ketiga Op Selamat 19 yang bermula sejak Rabu lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata dalam tempoh itu juga 852 kes kemalangan dilaporkan dengan 438 daripadanya membabitkan jalan bandaran.
"Kereta merupakan kenderaan yang paling tinggi menyumbang kepada statistik kemalangan dengan 589 kes diikuti dengan motosikal 107 kes," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata 430 pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) ditugaskan di 32 lokasi black spot (kemalangan) dan 61 lokasi hot spot (kesesakan) di negeri itu sempena perayaan Tahun Baharu Cina ini.
Katanya tumpuan pemantauan turut diberikan kepada dua pintu masuk utama negara iaitu Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri, yang dijangka berlaku pertambahan kenderaan masuk ke Malaysia.
-- BERNAMA
#Op Selamat 19 #kemalangan jalan raya #Johor #Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat
;