Op Selamat 19: Kelantan catat 407 kemalangan

Bernama
Januari 29, 2023 06:15 MYT
Muhamad Zaki berkata, mengekori terlalu rapat, terbabas sendiri dan leka atau mengantuk merupakan antara faktor penyumbang kepada kemalangan di Kelantan. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA BHARU: Sebanyak 407 kes kemalangan dicatatkan sepanjang Op Selamat 19 sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang diadakan selama 10 hari di Kelantan dari 18 hingga 27 Januari lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata daripada jumlah itu 10 kes kemalangan maut direkodkan dengan tiga daripadanya adalah penunggang motosikal.
"Hasil analisis Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik mendapati sebanyak 96 kes kemalangan berlaku disebabkan kecuaian ketika keluar, masuk simpang dan susur jalan.
Enam puluh tujuh kes pula melibatkan kegagalan melihat atau tidak menyedari kenderaan atau objek lain di hadapan sebelum bertindak memotong dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata mengekori terlalu rapat, terbabas sendiri dan leka atau mengantuk merupakan antara faktor penyumbang kepada kemalangan di negeri ini.
"Seramai 49 individu ditangkap atas pelbagai kesalahan termasuklah dadah (41), merempit (6) dan berkaitan kesalahan jenayah (2).
Selain itu, sebanyak 6,808 saman telah dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan lalu lintas," katanya.
-- BERNAMA
#Op Selamat 19 #Tahun Baharu Cina #penunggang motosikal #kemalangan maut
;