Op Selamat 19: 909 saman dikeluarkan di Perak dalam tempoh 2 hari
Astro Awani
Januari 20, 2023 18:39 MYT
Januari 20, 2023 18:39 MYT
IPOH: Sejumlah 909 saman telah dikeluarkan kepada pengguna jalan raya di negeri ini, sepanjang dua hari Op Selamat ke-19 dijalankan bersempena Tahun Baharu Cina.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Supt. Azizan Hassan, jumlah tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 63 peratus berbanding 2,458 pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Katanya, sebahagian besar saman tersebut membabitkan kesalahan memandu dengan laju dan melanggar lampu merah.
"Bagi kemalangan pula, ia mencatatkan sebanyak 252 kes yang melibatkan dua kematian, iaitu seorang penunggang motosikal dan seorang lagi penumpang kereta.
"Setakat ini memang kita dapat lihat kadar kematian menurun sebanyak 50 peratus berbanding Op Selamat ke-17 sebelum ini," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas hadir Operasi Kesedaran dan Keselamatan Jalan Raya Masyarakat Pulang ke Kampung sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Ipoh Selatan (utara), di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berkata aliran trafik yang masuk ke negeri ini menunjukkan pada skala 3.
"Kenderaan yang masuk ke Perak memang banyak tetapi masih boleh bergerak dan terkawal, cuma mungkin pergerakan trafik itu sedikit perlahan berbanding biasa," katanya.
Tambahnya, antara kawasan yang dikenal pasti berlakunya kesesakan ialah di laluan utara - selatan Gunung Semanggol (Kerian), Bukit Berapit (Taiping), Sungai Perak (Kuala Kangsar), Terowong Menora, Ipoh, Simpang Pulai, Gopeng, dan Tapah.
"Antara faktor lain yang menyebabkan kesesakan jalan raya adalah kerana pemberian tol percuma bermula 12 tengah malam, 20 Januari 2023 (Jumaat) dan akan berakhir pada 11.59 malam, 21 Januari kepada semua kelas kenderaan.
"Pihak JSPT perak dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak sentiasa membuat pemantauan di lebuh raya bagi memastikan kelancaran semua pengguna jalan raya," ujarnya.
Menurut beliau lagi, pihaknya turut menempatkan pegawai trafik di lokasi hotspot di negeri ini.
Selain itu pihak PLUS juga menempatkan trak tunda di kawasan rehat dan rawat (R&R) berdekatan sekiranya perlu.
Op Selamat yang dijalankan selama 10 hari bermula 18 hingga 27 Januari tertumpu di kawasan panas yang dijangka berlaku kesesakan akibat pergerakan orang ramai pulang ke kampung dan kembali semula selepas tamat musim perayaan nanti.