Op Selamat 19: 18 kemalangan maut, 22 kematian hari ketiga
Sinar Harian
Januari 21, 2023 06:30 MYT
Januari 21, 2023 06:30 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 18 kemalangan maut dengan 22 jumlah kematian direkodkan pada hari ketiga Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina di seluruh negara.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, statistik pada 20 Januari (Jumaat) itu mencatatkan 1,901 kes kemalangan.
"Sebanyak 2,852 buah kenderaan terlibat dalam kemalangan terbabit.
"Daripada jumlah itu, 18 membabitkan kemalangan maut dengan 22 kematian manakala sembilan cedera parah dan 53 cedera ringan," katanya pada Sabtu.
Justeru, JSPT menasihatkan agar semua pengguna jalan raya untuk kekal berhati-hati dan berhemah agar risiko kemalangan dapat dielakkan.
Op Selamat 19 ini akan berjalan selama 10 hari mulai 18 sehingga 27 Januari 2023 secara serentak di seluruh negara.
Pada 13 Januari lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain merasmikan Pelancaran Op Selamat 19 Tahun Baharu Cina di Restoran Jejantas, Ayer Keroh, Melaka (arah selatan), Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
Dengan mengekalkan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus menumpukan usaha untuk meminimumkan kemalangan jalan raya dan meningkatkan kawalan pencegahan jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan.
Razarudin berkata, bagi mengurangkan kes kemalangan, PDRM menerusi JSPT akan mengaplikasikan pendekatan mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berhemah di samping memastikan kelancaran lalu lintas demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
Sepanjang pelaksanaan Op Selamat 19 itu juga, semua elemen JSPT termasuklah bantuan daripada Unit Dron Pasukan Gerakan Udara PDRM akan digerakkan secara optimum bagi membantu menyuraikan trafik selain pemantauan dan menunjukkan kehadiran pihak berkuasa di kawasan yang dijangka berlakunya kesesakan. -Sinar Harian