Op Selamat 12: Penunggang motosikal catat korban tertinggi
Wan Syamsul Amly
Februari 15, 2018 23:12 MYT
Februari 15, 2018 23:12 MYT
Penunggang dan pembonceng motosikal mencatat jumlah kematian tertinggi dalam tempoh enam hari Op Selamat ke-12 ( Op Selamat 12) dijalankan dengan 61 korban.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Sharul Othman Mansor berkata, ia menunjukkan peningkatan kadar kematian sebanyak tiga kes atau lima peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Jelasnya, pengguna kereta pula mencatat sebanyak 14 kematian, pejalan kaki mencatat dua kematian, pengguna basikal (1), van (2), bas (1), lori (3) dan lain-lain tujuh kematian.
"Bagaimanapun, saya ingin nyatakan daripada jumlah 91 kes kemalangan maut dalam tempoh enam hari ini, penunggang motosikal masih menjadi penyumbang utama iaitu 61 kes daripada 91 kes maut," katanya semasa sidang media Op Selamat 12 Sempena Tahun Baharu Cina 2018 di Plaza Tol Sungai Besi, hari ini.
Jelasnya, dalam tempoh sama, kemalangan mencatatkan penurunan sebanyak 554 kes, iaitu 9,466 kes berbanding 10,020 kes bagi tempoh sama Op Selamat 10 tahun lalu.
"Kes kemalangan maut juga menurun sebanyak dua kes berbanding Op Selamat 10 iaitu 89 kes pada Op Selamat kali ini berbanding 91 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
"Begitu juga dengan jumlah kematian yang mencatat penurunan sebanyak tujuh kes berbanding Op Selamat 10 iaitu 91 kes pada Op Selamat kali ini berbanding 98 kes bagi tempoh sama Op Selamat yang lalu," ujarnya.
Op Selamat 12 sempena perayaan Tahun Baru Cina 2018 merupakan kempen keselamatan selama dua minggu yang bermula 9 Februari sehingga 23 Februari mengekalkan tema 'Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi'.
Objektif operasi Op Selamat 12 adalah mencegah jenayah pecah rumah dengan menekankan keselamatan harta benda dan rumah yang ditinggalkan sepanjang tempoh bercuti serta meminimumkan kemalangan jalan raya ketika musim perayaan.
Antara pendekatan yang diambil bagi menjayakan Op Selamat kali ini adalah menyusun strategi dalam melancarkan lalu lintas, menurunkan kadar kemalangan maut serta jenayah pecah rumah ke tahap paling minimum.
Tumpuan akan diberikan kepada kontinjen dan daerah yang mencatatkan kemalangan maut yang tinggi, selain meningkatkan rondaan dan pemantauan di kawasan perumahan.