Op Selamat 11 di Kelantan catat 11 kematian

Bernama
Jun 28, 2017 16:07 MYT
Polis berkata pemantauan rapi anggota trafik yang diletakkan di beberapa kawasan yang sering berlaku kemalangan maut di negeri ini akan diteruskan. - Foto BERNAMA
Sebanyak 11 kematian direkodkan daripada 489 kemalangan jalan raya yang berlaku di Kelantan sehingga semalam sejak Op Selamat 11 dilancarkan 18 Jun lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata pemantauan rapi anggota trafik yang diletakkan di beberapa kawasan yang sering berlaku kemalangan maut di negeri ini akan diteruskan.
"Hanya ada satu atau dua anggota trafik ditugaskan di pejabat (Ibu Pejabat Polis Daerah) masing-masing untuk tugasan pejabat. Kita telah tugaskan semaksima mungkin anggota trafik di kawasan berisiko kemalangan.
"Selain itu, hanya 10 peratus daripada hampir 4,000 anggota dan pegawai yang dibenarkan bercuti pada tahun ini bagi menjaga keselamatan harta benda dan jalan raya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Mesra Raya Perantau, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Penjawat Awam di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan di Bandar Baharu Tunjong di sini, hari ini.
Majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 pengunjung itu turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Yahaya Mamat.
Sementara itu, Mustapa yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK) meminta agar Jabatan Kerja Raya (JKR) mengkaji kesesakan jalan raya sepanjang lebih 13 kilometer di persimpangan Machang-Tanah Merah di Machang, bagi mengelak ia daripada terus berlaku pada masa depan.
"Jadi kita minta JKR untuk kaji macam mana kita boleh selesaikan masalah kesesakan di persimpangan Machang-Tanah Merah itu. Mungkin dengan pembinaan jejambat ke, jalan pintas ke," katanya.
Beliau berkata secara amnya masalah kesesakan jalan raya sepanjang Aidilfitri tahun ini bertambah baik selepas beberapa pembinaan jambatan tambahan dan jejambat sudah boleh digunakan walaupun belum siap sepenuhnya.
"Umpamanya di Salor telah dibuka jambatan sementara, manakala Jambatan Sultan Yahya Petra telah mempunyai enam lorong. Pembinaan jambatan di Tanah Merah juga hampir siap dan kita harap dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi, masalah kesesakan di kawasan yang terlibat itu akan dapat dikurangkan," katanya.
-- BERNAMA
#Datuk Hasanuddin Hassan #kemalangan jalan raya #Op Selamat 11
;