Op Samseng Jalanan: Polis sita 14 motosikal, tahan dua remaja
Bernama
Mac 27, 2023 18:09 MYT
Mac 27, 2023 18:09 MYT
BALIK PULAU: Polis menyita 14 motosikal dan menahan dua remaja lelaki dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di beberapa lokasi tumpuan lumba haram di daerah Barat Daya, di sini sejak Jumaat hingga semalam.
Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, operasi berterusan terutama pada hujung minggu itu adalah untuk membanteras kegiatan samseng jalanan dan mat rempit serta jenayah jalanan.
"Dalam operasi pertama bermula 10 malam Jumaat hingga 4 pagi Sabtu, polis menyita lima motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana pelbagai kesalahan antaranya tiada cukai jalan, tiada lesen memandu dan mengubah suai motosikal keterlaluan.
"Dalam operasi kedua bermula 10 malam Sabtu hingga 7 pagi Ahad, sebanyak sembilan motosikal disita dan dua remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan kerana menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di Jalan Sultan Azlan Shah. Mereka disiasat mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, dalam operasi tersebut polis turut mengeluarkan 58 saman terhadap penunggang motosikal kerana pelbagai kesalahan lalu lintas.
-- BERNAMA