Op Sabong: 216 pendatang asing ditahan di Nilai
Bernama
Oktober 30, 2023 20:37 MYT
Oktober 30, 2023 20:37 MYT
SEREMBAN: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) menahan 216 pendatang asing termasuk 11 kanak-kanak di sekitar Nilai dekat sini menerusi Op Sabong yang dilaksanakan selama lima hari bermula 24 Okt lepas.
Pengarahnya Kennith Tan Ai Kiang berkata ia membabitkan 141 lelaki dan 75 wanita warga Myanmar, Indonesia, Bangladesh, Nepal, Kemboja, Pakistan, India dan Vietnam manakala kanak-kanak di bawah umur berusia antara dua hingga 17 tahun.
"Kesemua ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Mereka kemudian dihantar ke Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut. Sebanyak sembilan borang saman saksi juga dikeluarkan kepada majikan atau penjaga premis untuk hadir ke JIMNS bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Selain JIMNS, beberapa agensi keselamatan serta pihak berkuasa tempatan termasuk polis dan Jabatan Kastam turut terlibat dalam 74 operasi sepanjang Op berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang Januari hingga 11 Okt lepas, seramai 184 warga asing diperiksa dan 31 ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen dan Peraturan - Peraturan Imigresen 1963 serta tiga majikan didakwa di mahkamah.
Tan berkata operasi dilaksanakan di kedai perabot, permaidani, runcit, langsir dan kedai makan di sekitar daerah berkenaan.
Tindakan penguatkuasaan dan operasi mengesan pendatang tanpa izin katanya akan sentiasa dipertingkat di seluruh negeri bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman rakyat.
Beliau turut memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan warga asing yang disyaki pendatang tanpa izin dan pemberi maklumat akan dirahsiakan.
-- BERNAMA