Op Rokok: Pelbagai alasan tidak munasabah - Pengarah Kesihatan Perak
Abd Razak Mohd Ali
Mac 17, 2022 17:03 MYT
Mac 17, 2022 17:03 MYT
IPOH: Pelbagai alasan tidak munasabah diberikan orang ramai apabila dikompaun kerana menghisap rokok di dalam premis makan sepanjang Op Rokok di Daerah Kinta sejak Selasa.
Antara alasan itu, kononnya tidak tahu larangan merokok di premis makan di samping beranggapan larangan sudah berakhir dan tiada lagi penguatkuasaan.
Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming menegaskan, larangan itu tidak pernah ditarik balik, demi menjaga kesihatan awam.
"Ini semua adalah langkah-langkah Kementerian Kesihatan untuk membantu masyarakat secara amnya, untuk bertanggungjawab untuk kesihatan sendiri dan juga kesihatan orang sekitar kita. Maka untuk yang merokok itu, kalau anda tidak dapat berhenti merokok, bukanlah hak anda untuk merokok di tempat, di restoran.
"Yang secondary smoke itu is given to other people. Yang secondary smoke itu pun bahaya, kita semua tahu. maka mengapa anda tidak bertanggungjawab? Walaupun anda merokok, anda boleh merokok di luar," katanya.
Beliau bercakap dalam sidang media mengenai operasi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di Ipoh, pada Khamis.
Dalam operasi dua hari itu, sebanyak 195 saman dikeluarkan di bawah peraturan berkenaan, dengan nilai kompaun RM49,750.
Di samping itu, sebanyak 46 kompaun turut dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, berjumlah RM46,000, kerana kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4, Pelan Pemulihan Negara.
Operasi itu turut mengeluarkan 74 saman bernilai RM7,550 terhadap pengendali premis makanan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.