Op Ragada: Bekas Datuk Bandar disyaki lulus projek, 3 yang lain terima imbuhan
Bernama
Januari 17, 2025 17:46 MYT
Januari 17, 2025 17:46 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Datuk Bandar yang ditahan dalam Op Ragada bersama dua wanita dan seorang lelaki pada Rabu dan semalam disyaki antara individu yang bertanggungjawab meluluskan projek diselewengkan pegawai pengurusan tertinggi sebuah stesen penyiaran di Sarawak.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata empat individu berkenaan turut disyaki menerima perolehan haram hasil penyelewengan itu.
"Bekas Datuk Bandar adalah pegawai tertinggi syarikat penyiaran yang meluluskan projek dan kita masih menyiasat sekiranya suspek mengambil imbuhan seperti tiga suspek lain," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata bekas Datuk Bandar dan seorang bekas pengurus besar sudah dibebaskan dengan jaminan polis manakala pihaknya akan meneliti untuk menyambung reman terhadap dua lagi individu selepas tempoh reman mereka tamat hari ini.
Semalam, Bernama melaporkan polis menahan bekas Datuk Bandar itu dan dua wanita masing-masing bekas pengurus besar dan pengarah syarikat serta seorang lelaki berumur 53 hingga 71 tahun di Kuching, Sarawak serta merampas 32 dokumen di sebuah syarikat di Kuching bagi membantu siasatan kes pengubahan wang.
Sementara itu, Razarudin berkata pegawai terbabit yang ditahan bersama isteri dan anaknya serta seorang lagi individu pada 10 Jan lepas telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Sebelum ini Razarudin mendedahkan siasatan polis mendapati modus operandi mereka adalah menjalankan aktiviti jenayah pengubahan wang haram melalui transaksi kewangan yang mencurigakan dan kesalahan pecah amanah jenayah, tipu tender dan menganugerahkan tender kepada diri sendiri atau ahli keluarga.
Beliau berkata kertas siasatan membabitkan Seksyen 409 dan Seksyen 403 Kanun Keseksaan, Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) itu sedang dilengkapkan untuk dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.
-- BERNAMA