Op Rabies: Operasi seterusnya di Serian dan Simunjan

Bernama
Jun 12, 2019 15:23 MYT
Amar Douglas berkata operasi yang akan dijalankan di Serian bakal meliputi 257 kampung dengan 18,837 isi rumah. -Foto Bernama
Operasi Antirabies yang seterusnya akan dilaksanakan di Daerah Serian dan Simunjan pada 20 hingga 25 Jun ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata operasi yang akan dijalankan di Serian bakal meliputi 257 kampung dengan 18,837 isi rumah.
"Dianggarkan terdapat 7,817 anjing di kawasan tersebut, 3,900 anjing yang bertuan dan 552 adalah anjing liar. Setakat ini, hanya 25 ekor anjing yang telah divaksinkan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Uggah, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata manakala di Simunjan, operasi rabies akan meliputi 144 kampung termasuk 12 ladang kelapa sawit.
"Daerah ini mempunyai kira-kira 104 anjing liar manakala 257 anjing masih belum divaksinasikan. Berbanding tahun lepas sejumlah 9,457 anjing telah divaksinasikan termasuklah di kawasan Tebedu," katanya.
Dalam operasi yang dijalankan di Lundu, Bau, Padawan, Samarahan dan Kuching sebelum ini, JPBN berjaya membasmi sejumlah 5,867 anjing dan 38 kucing.
Kata Uggah, beliau berharap operasi yang akan datang berjalan dengan lebih mantap dan berkesan serta mencapai matlamat.
Terbaru, kes jangkitan rabies dalam kalangan manusia telah mencatatkan 17 kes kematian dan 18 jangkitan sejak ia diisytiharkan sebagai Bencana Tahap Dua pada 15 Mei 2017.
Walaupun nasihat mengenai rawatan selepas digigit anjing kerap disiarkan di akhbar, media sosial, risalah dan poster, namun masih ramai yang tidak mengendahkannya.
Uggah Embas berkata isu berkaitan rabies dan operasi membanterasnya harus dipandang serius dari semasa ke semasa.
#Datuk Amar Douglas Uggah Embas #Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri #operasi antirabies #Sarawak #Timbalan Ketua Menteri
;