Op Prihatin: APM Kelantan pantau 29 laluan sempena Aidilfitri
Bernama
April 20, 2023 21:04 MYT
April 20, 2023 21:04 MYT
GUA MUSANG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan mengenal pasti sebanyak 29 laluan di negeri itu yang perlu dipantau menerusi Op Prihatin sepanjang musim perayaan Aidilfitiri.
Pengarahnya Kolonel (PA) Mohd Adzhar Mujab berkata Op Prihatin itu dilaksanakan pada 18 hingga 21 April dan 28 April hingga 1 Mei membabitkan seramai 350 anggota yang bertugas secara penggiliran.
"Op Prihatin ini melibatkan 29 laluan meliputi 11 jajahan di Kelantan termasuk tiga pintu masuk utama ke negeri ini iaitu Gua Musang, Jeli dan Pasir Putih.
"Operasi kali ini turut membabitkan enam pacuan empat roda dan ambulans yang sudah dilengkapi dengan kemudahan bagi membantu mereka yang memerlukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Op Prihatin peringkat negeri Kelantan di Hentian Gua Musang, hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Konsortium E-Mutiara Berhad Che Ibrahim Che Ismail.
Mengulas lanjut Mohd Adzhar berkata selain memberi tumpuan terhadap kes kemalangan, anggota yang bertugas turut memfokuskan kepada pemandu yang berhenti di tepi jalan untuk memberi bantuan awal sekiranya berdepan kesulitan.
"Anggota turut dibekalkan kit penyegaran yang mana mengandungi biskut raya, air dan roti untuk diberikan kepada pemandu kenderaan yang memerlukan," katanya.
--BERNAMA