Op Pintas: Padah berlabuh tanpa kebenaran
Aida Aziz
Februari 2, 2021 10:52 MYT
Februari 2, 2021 10:52 MYT
LUMUT: Tindakan sebuah kapal tunda yang berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 4.6 batu nautika barat daya Pulau Dua, Pulau Pangkor, mengundang padah setelah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak semalam.
Menurut Pengarahnya Kapten Maritim Shahrizan Raman, pihaknya mengesan sebuah kapal tunda membawa paip besi dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 1 petang semalam.
Ketika itu, ujarnya, anggota penguat kuasa Maritim sedang melaksanakan Op Pintas.
"Hasil pemeriksaan mendapati, kapal tersebut dikendalikan 13 kru termasuk master, terdiri daripada warga Filipina dan Honduras, berumur 30 hingga 65 tahun, serta mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
"Kapal yang berdaftar di Singapura itu dipercayai dalam perjalanan dari Indonesia menuju ke India.
"Kapal tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) kerana berlabuh tanpa kebenaran daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, sekiranya didapati bersalah, hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak lebih RM100,000, atau kedua-duanya, boleh dikenakan.
Kata Shahrizan lagi, kesemua kru bersama kapal ditahan di South East Point (SEP) di perairan Pulau Pangkor bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Tegasnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menguatkuasakan undang-undang dan akan mengambil tindakan sewajarnya.
Pengusaha atau pemilik bot hendaklah mematuhi undang-undang demi memastikan kesejahteraan perairan negara.
Orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.
#paip besi
#maritim
#Op Pintas
#Pulau Pangkor
#warga filipina
#warga Honduras
#dokumen perjalanan
#Singapura
#India
#Indonesia
#Shahrizan Raman
#MSO
#siasatan
#perairan
#operasi
#Jabatan Laut Malaysia
#berlabuh tanpa kebenaran
#kapal tunda