Op Pintas Mega: Remaja Myanmar 16 tahun jadi buruh paksa diselamatkan
Bernama
Julai 25, 2024 06:15 MYT
Julai 25, 2024 06:15 MYT
IPOH: Seorang remaja lelaki warga Myanmar berusia 16 tahun diselamatkan pihak berkuasa selepas disyaki dieksploitasi untuk menjadi buruh paksa di sebuah kilang memproses bahan kitar semula di Kawasan Perindustrian IGB Tasek di sini pada Khamis.
Dalam serbuan Ops Pintas Mega sekitar jam 3.30 petang itu yang turut disertai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dengan kerjasama polis, seramai 27 pekerja asing warga Myanmar dan China turut ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan.
Operasi dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Kontinjen Perak.
Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris dalam kenyataan malam tadi berkata seorang lelaki tempatan berperanan sebagai pengarah syarikat berusia 49 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan berhubung jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran serta menggaji pekerja asing tanpa permit.
Katanya JAS Perak turut mengambil tindakan ke atas kilang tersebut kerana tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
-- BERNAMA