Op Pintas Mega: Remaja jadi buruh paksa diselamatkan, 47 pekerja asing ditahan

Abd Razak Mohd Ali
Julai 17, 2024 06:00 MYT
Antara pekerja asing yang ditahan dalam Op Pintas Mega di sebuah kilang di Simpang Lima. - Astro AWANI
PARIT BUNTAR: Seramai 48 pekerja asing, termasuk seorang remaja berusia 16 tahun ditahan dalam Op Pintas Mega di sebuah kilang di Simpang Lima, Parit Buntar, Perak pada Rabu.
Dalam serbuan sekitar jam 3.15 petang itu, remaja terbabit disyaki dieksploitasi untuk menjadi buruh paksa di kilang memproses bahan kitar semula berkenaan sejak lebih setahun lalu.
Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak, Muhamad Fauzi Abd Ghani berkata, dalam operasi itu turut dikesan beberapa kesalahan dan pelanggaran di bawah undang-undang perburuhan iaitu Akta Kerja 1955 dan Akta 446.
“Majikan sepatutnya perlu mendapatkan perakuan penginapan daripada pihak JTK di bawah Akta 446.
“Jadi majikan tidak memohon perakuan penginapan daripada JTK, ianya adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 24(d).
“Kalau kita lihat tadi, penginapan memang tidak kondusif untuk didiami oleh manusia lah dan kita lihat dapur pun memang kotor,” katanya ketika ditemui selepas menyertai operasi itu.
Operasi dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Kontinjen Perak serta JTK.
Menurut Muhamad Fauzi, majikan juga gagal menyediakan almari dan tilam yang mengikut spesifikasi ditetapkan di samping melakukan pemotongan gaji tidak sah, membuat bayaran gaji secara tunai dan jam pekerja bekerja melebihi 45 jam seminggu.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati, kesemua pekerja itu terdiri daripada Myanmar dan China yang berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.
Semasa serbuan, beberapa pekerja asing yang menyedari kehadiran pihak berkuasa bertindak melarikan diri dengan melompat pagar zink kilang ke kawasan belukar berhampiran.
Bagaimanapun tindakan tersebut berjaya digagalkan dan semua pekerja yang cuba meloloskan diri berjaya diberkas semula.
#Op Pintas Mega #warga asing #kilang proses bahan kitar semula #remaja
;