Op Pedo: 13 lelaki miliki pornografi, bahan penderaan seksual kanak-kanak ditahan
Umavathi Ramayah
Disember 24, 2024 13:23 MYT
Disember 24, 2024 13:23 MYT
KUALA LUMPUR: Polis menahan 13 lelaki secara berasingan di enam negeri kerana disyaki memiliki bahan pornografi dewasa dan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dalam talian pada Isnin.
Ringkasan AI
- Polis menahan 13 lelaki berusia 20 hingga 74 tahun di enam negeri kerana disyaki memiliki bahan pornografi dewasa dan penderaan seksual kanak-kanak dalam talian melalui operasi Op Pedo Bersepadu.
- Dalam serbuan di 18 premis, polis merampas kira-kira 40,000 bahan CSAM dan bahan pornografi dewasa.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu, kesemua mereka yang berusia 20 hingga 74 tahun itu diberkas menerusi Op Pedo Bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang dijalankan serentak kira-kira pukul 9 malam di 18 buah premis di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu.
Mereka yang ditahan katanya, bekerja sebagai pengurus akaun, pembantu kedai elektrik, pereka grafik, jurujual kejuruteraan, jurukimpal, jurukamera bebas, tukang jahit, pemandu e-hailing, operator di Singapura, pembantu kedai makan, pekebun, pekerja kedai ais manakala seorang lagi penganggur.
Beliau memberitahu, enam daripada mereka ditahan di Johor, Selangor (tiga individu) manakala masing-masing seorang di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Terengganu dan Perak.
"Berdasarkan pemeriksaan awal, kita menemukan kira-kira 40,000 bahan CSAM dan bahan pornografi dewasa dalam peranti yang diperiksa.
"Kita turut merampas tujuh buah komputer, seunit komputer riba, telefon pintar (11 unit), modem (tujuh unit), router (sembilan unit) sementara masing-masing satu unit cakera video digital (DVD) dan cakera keras," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Razarudin memberitahu, dalam serbuan itu, PDRM dan SKMM memeriksa 18 individu yang disyaki melakukan kesalahan seksual dalam talian namun hanya 13 daripada mereka yang ditahan.
Menurutnya, daripada 18 premis yang diperiksa hanya 12 premis ditemui mengandungi kandungan bahan terlarang di dalam peranti yang diperiksa.
Serbuan itu katanya melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Bahagian Makmal Forensik (D10) dan Bahagian Bantuan Teknikal (D6) Bukit Aman serta kontinjen negeri berkenaan.
Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana memiliki bahan CSAM, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Beliau memberitahu, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah.
Seksyen itu membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Razarudin memberitahu, 11 daripada suspek itu direman antara satu dan empat hari manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan.