Op Patuh di seluruh negara bermula Khamis - Hamzah

Astro Awani
Jun 29, 2021 19:04 MYT
Jelas Hamzah, operasi berkenaan bakal dilaksanakan secara bersepadu melibatkan 21 kementerian yang akan bekerjasama dengan KDN. - Foto BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan operasi membanteras ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) atau Op Patuh secara besar-besaran yang dijangka dilaksanakan di seluruh negara bermula Khamis.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata operasi berkenaan bakal dilaksanakan secara bersepadu melibatkan 21 kementerian yang akan bekerjasama dengan KDN.
Jelasnya, operasi menyeluruh itu turut melibatkan sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi sepanjang sekatan penuh pergerakan dalam usaha mengurangkan kes jangkitan COVID-19.
“Ianya mungkin akan bermula pada hari Khamis secara besar-besaran atau kalau kita terlewat sikit hari Jumaat.
“Semua mereka yang sekarang ini dibenarkan beroperasi mereka boleh tahu apa yang saya umumkan ini dan bersedia. Kalau kita dah tangkap kita akan bagi secara maksimum kompaun yang akan dikenakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan Program Pemantauan Pematuhan SOP 3.0 di Terengganu pada Selasa.
Terdahulu beliau turut meninjau operasi pemantuan SOP di Penjara Marang, Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (IKIM) Chendering dan di Jabatan Imigresen di Bandaraya Kuala Terengganu.
Menurut Hamzah lagi, tumpuan Op Patuh diberikan kepada negeri yang mencatatkan angka COVID-19 yang tinggi dan penguatkuasaan dilakukan menggunakan pelbagai aset seperti helikopter dan dron selain sekatan jalan raya.
Katanya, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Ketua-ketua Jabatan PDRM pada Rabu bagi menetapkan strategi dan 154 Ketua Polis Daerah diberi petunjuk prestasi utama (KPI) yang harus dicapai.
#Kementerian Dalam Negeri #KDN #Op Patuh #Hamzah Zainudin #SOP #Kuala Terengganu #COVID-19 #Sekatan Jalan Raya
;