Op Patkor Malindo: Kerjasama TLDM-TNI-AL perkukuh keselamatan perairan Selat Melaka

Aida Aziz
Jun 26, 2024 08:45 MYT
Operasi Patroli Terkoordinasi (Op Patkor Malindo) siri 164/24 yang berlangsung dari 12 hingga 25 Jun terus memperkukuh kerjasama di antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentara Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL). - Gambar TLDM
LUMUT: Operasi Patroli Terkoordinasi (Op Patkor Malindo) siri 164/24 yang berlangsung dari 12 hingga 25 Jun terus memperkukuh kerjasama di antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentara Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL).
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, Perak dalam satu kenyataan berkata, operasi tersebut dijalankan bagi memastikan keselamatan perairan Selat Melaka.
Katanya, operasi gabungan kali ini melibatkan Kapal Diraja (KD) Handalan dan Jerai mewakili TLDM manakala Kapal Republik Indonesia (KRI) Torani dan Krait mewakili TNI-AL.
"Majlis pembukaan berlangsung di Lantamal I, Belawan, Indonesia pada 12 Jun.
"Seterusnya, kapal meneruskan fasa rondaan bersama di perairan Selat Melaka bermula 14 hingga 23 Jun yang bertujuan memastikan keselamatan di Selat Melaka.
"Di samping meningkatkan kebolehoperasian kedua angkatan laut, pelbagai aktiviti dilaksanakan bagi mengekang ancaman keselamatan serta jenayah rentas sempadan merangkumi perkongsian maklumat tentang ancaman dan aktiviti maritim serta latihan bersama di laut.
"Latihan yang dijalankan bertujuan mengasah kemahiran warga TLDM dan TNI-AL dalam pengawasan dan rondaan maritim yang efektif.
"Selain meningkatkan keupayaan dalam menghadapi ancaman dan situasi kompleks di perairan Selat Melaka," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, operasi diakhiri dengan majlis penutup di Markas Wilayah Laut 3, Langkawi pada 24 Jun.
"Keutuhan jalinan kerjasama TLDM dan TNI-AL melalui Op Patkor Malindo mampu memastikan perairan Selat Melaka selamat daripada unsur pelanggaran undang-undang maritim.
"Seterusnya mengukuh keyakinan komuniti maritim di perairan itu," ujar kenyataan itu lagi.
Kenyataan itu juga berkata, kerjasama erat antara kedua negara akan terus dikekalkan dalam memastikan keselamatan serta keamanan pengguna maritim di sepanjang perairan maritim Malaysia dan Indonesia.
#Operasi Patroli Terkoordinasi #TLDM #TNI-AL #perairan Selat Melaka
;