Op Noda: Polis Melaka tahan 14 pelacur warga asing

Bernama
Ogos 16, 2021 13:10 MYT
Sindiket pelacuran ini dipercayai mula aktif antara sebulan hingga dua minggu lepas. - Foto ihsan PDRM
MELAKA: Polis Melaka mematahkan satu sindiket pelacuran di negeri ini selepas menahan 14 pelacur membabitkan 12 warga Vietnam dan dua warga Thailand berumur antara 22 hingga 37 tahun menerusi Op Noda dalam tiga serbuan berasingan di daerah Melaka Tengah, Khamis lepas.
Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata selain itu, dua warga tempatan berumur 40-an dipercayai penjaga premis yang menjalankan aktiviti pelacuran tersebut turut ditahan dengan kesemua mereka diberkas dalam tiga serbuan bermula pukul 5 petang hingga 7 malam.
"Sindiket pelacuran ini dipercayai mula aktif antara sebulan hingga dua minggu lepas dengan melantik beberapa ejen untuk mencari pelanggan khususnya pelanggan tetap menggunakan aplikasi WhatsApp dan WeChat.
"Selepas ada pelanggan yang berminat, gambar mereka akan dihantar kepada pelacur terbabit untuk persetujuan. Servis yang dikenakan antara RM150 hingga RM260 dan dibayar terus kepada pelacur sebelum perkhidmatan seks bermula," katanya menerusi sidang akhbar secara dalam talian di sini hari ini.
Abdul Majid berkata dua penjaga premis membabitkan sebuah hotel bajet dan rumah persendirian itu pula dibayar komisen sebanyak 10 peratus daripada aktiviti berkenaan, dengan setiap pelacur mendapat antara tiga hingga empat pelanggan setiap hari.
"Aktiviti pelacuran ini juga berlangsung antara pukul 12 tengah hari hingga 8 malam sahaja. Pelacur-pelacur ini dipercayai masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial untuk tujuan melancong dan dipercayai terkandas di Melaka sejak enam bulan lepas berikutan sekatan pergerakan di bawah Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Kita juga telah mengenal pasti seorang ejen yang mempromosi kegiatan haram berkenaan dan yakin akan menemukan beberapa lagi ejen yang terlibat dalam sindiket berkenaan," katanya sambil menambah lima pelanggan lelaki berumur 27 hingga 30 tahun turut ditahan semasa serbuan.
Beliau berkata 14 pelacur dan dua penjaga premis berkenaan direman selama empat hari bermula Jumaat lepas hingga hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 372A/372B Kanun Keseksaan kerana membabitkan diri dalam aktiviti persundalan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun, sebatan dan denda.
Katanya, kes berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh masa yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak kurang RM10,000 atau kedua-duanya.
"Lima pelanggan yang ditahan ketika serbuan juga dikenakan tindakan di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB 2021) kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bawah Fasa Satu PPN," katanya.
-- BERNAMA
#pelacur #warga asing #polis #sindiket
;