Op Noda: 26 individu diberkas, sindiket persundalan ditumpaskan polis

Astro Awani
Julai 12, 2021 15:03 MYT
Jelas Ayob, sindiket itu telah beroperasi sejak Mei lalu dengan menggunakan aplikasi sosial dalam talian sebagai medium promosi dan pengiklanan. - PDRM
JOHOR BAHRU: Satu sindiket pelacuran tumpas dengan penahanan 26 individu dalam tujuh serbuan menerusi Op Noda di sekitar Johor Bahru pada 10 Julai lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam operasi itu, premis yang diserbu dan diperiksa melibatkan dua buah hotel bajet, tiga rumah apartmen, sebuah rumah kediaman dan rumah kedai.
Katanya, mereka yang diberkas membabitkan 16 wanita pekerja seks termasuk seorang wanita tempatan serta enam lelaki yang bertindak sebagai penghantar dan empat lelaki penjaga premis.
Kesemua yang ditahan berusia antara 21 hingga 54 tahun.
Jelasnya, sindiket itu telah beroperasi sejak Mei lalu dengan menggunakan aplikasi sosial dalam talian sebagai medium promosi dan pengiklanan.
“Modus operandi yang digunakan sindiket persundalan ini menggunakan aplikasi (dalam talian) sebagai medium iklan promosi dan berhubung dengan pelanggan.
“Hp yang digunakan oleh sindiket ini digunakan untuk berkongsi gambar perempuan kepada pelanggan dan pelanggan akan memilih perempuan itu, seterusnya pelanggan diberikan lokasi.
“Pelanggan akan berhubung dengan ahli sindiket dan akan diberikan nombor bilik hotel. Bayaran dibuat kepada transporter yang menghantar perempuan yang ditempah. Bayaran yang dikenakan antara RM200 hingga RM300 mengikut perempuan yang dipilih,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Warga tempatan yang ditahan direman di bawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan direman antara tiga hingga enam hari, manakala bagi warga asing ditahan di bawah Akta Imigresen selama 14 hari bermula 11 Julai.
Kes disiasat di bawah Seksyen 373 dan 372 b Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
#pelacuran #persundalan #sindiket #polis #PDRM #op noda #Johor Bahru #ketua polis johor #ayob khan mydin pitchay
;