Op Merah: Rider p-hailing 'berani mati' langgar lampu merah disaman

Dewi Nur Harasha Alias
November 3, 2021 18:20 MYT
Pihak JPJ telah mengeluarkan 537 notis saman atas pelbagai kesalahan kepada mereka yang menyalahi peraturan ditetapkan. - Foto: JPJ
SEBERANG JAYA: Menunggang secara melulu, melanggar lampu isyarat merah antara kesalahan paling tinggi dilakukan sebahagian penunggang motosikal perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing) sepanjang 'Op Merah' dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Pulau Pinang hari ini.
Pengarah JPJ negeri, Adenan Md Isa berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya mendapati kebanyakan golongan penunggang ini berbuat demikian dengan alasan mahu mengejar trip tempahan pelanggan.
Malah, peningkatan kemalangan juga dikesan membabitkan penunggang p-hailing yang gagal mematuhi isyarat lampu merah.
Adenan berkata, sejak Op Merah dijalankan pada 8 Oktober lepas, 236 kesalahan langgar lampu isyarat merah dikesan dengan sebahagiannya melibatkan penunggang p-hailing.
"Tujuan Op Merah ini diadakan, adalah selepas kita mendapati banyak berlakunya kemalangan melibatkan penunggang motosikal p-hailing.
"Tabiat mereka yang memandu dengan melulu demi mengejar trip itu amat berbahaya kepada diri mereka sendiri selain membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain," katanya.
Adenan berkata, selain kesalahan melanggar lampu isyarat merah, beberapa kesalahan lain turut dikesan, antaranya gagal mematuhi isyarat lalu lintas jalan sehala, tidak mempunyai lesen memandu, kesalahan berkaitan pemakaian topi keledar dan sebagainya.
Sehubungan itu, katanya, pihak JPJ telah mengeluarkan 537 notis saman atas pelbagai kesalahan kepada mereka yang menyalahi peraturan ditetapkan.
Adenan berkata, meskipun Op Merah akan berakhir pada 7 November ini namun pihak JPJ akan terus melaksanakan penguatkuasaan dan advokasi kepada pengguna jalan raya.
Program itu akan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dan pemanduan berhemah serta kepentingan menjaga kenderaan dengan betul.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ops Merah di Jalan Tenggiri, Seberang Jaya, Pulau Pinang pada Rabu.
#langgar lampu merah #rider #p-hailing #JPJ #op merah
;