Op Menu elak peniaga manipulasi harga makanan

Adie Sufian Zulkefli
Disember 2, 2021 11:56 MYT
Op Menu akan memberi tumpuan kepada premis yang menyediakan makanan siap masak. - Astro AWANI
ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah telah mengenakan kompaun terhadap empat peniaga restoran dan kedai makan selepas melakukan kesalahan tidak meletak tanda harga menerusi Op Menu yang dijalankan hari ini.
Pengarah KPDNHEP Kedah, Rae Morn Verak berkata, pemeriksaan dilakukan berdasarkan aduan orang awam berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah.
Menurut beliau, kesalahan dikesan peniaga tidak meletakkan tanda harga pada roti canai yang dijual dan ini mengelirukan pengguna.
Tindakan kompaun RM300 telah dikenakan serta merta selepas didapati melakukan kesalahan kerana gagal mematuhi peruntukan undang-undang bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan Dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020.
Berdasarkan peruntukan, pengusaha restoran atau kedai makan yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM50,000.
"Apabila tanda harga tidak dipamerkan dengan jelas maka pihak pengguna tidak tahu harga tersebut dan apabila sudah makan dan ingin bayar, baru menyedari perkata tersebut.
"Jadi di sini terdapat empat kes yang kita kesan berkaitan dengan tanda harga sebab itu hak pengguna untuk tahu berapa harga sebelum dia perlu kena bayar," katanya.
Katanya, sepanjang tempoh Op Menu sebanyak 115 pemeriksaan telah dilakukan ke atas restoran dan kedai makan.
Jelas Rae Morn, Op Menu akan diteruskan bagi memastikan peniaga restoran dan kedai makan tidak memanipulasi harga makanan.
Beliau berkata Op Menu itu akan memfokuskan kepada premis yang menyediakan makanan siap masak, termasuk restoran dan kedai makanan Melayu, Cina, India, India Muslim, medan selera dan restoran makanan laut.
Pemeriksaan itu dapat memastikan restoran dan kedai makan mematuhi perundangan seperti penandaan harga dan penggunaan alat timbang yang sah bagi tujuan perdagangan.
Beliau juga menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan bijak membuat pilihan dengan memilih restoran dan kedai makan yang beretika seperti mempamerkan tanda harga.
Pengguna boleh mengemukakan aduan kepada KPDNHEP jika mempunyai maklumat mengenai salah laku pemilik restoran dan kedai makan.
Katanya, aduan boleh dibuat menerusi e-aduan.kpdnhep.gov.my; menghubungi pusat panggilan di 1-800-88-6800 atau e-mel ke e-aduan@kpdnhep.gov.my.
#Op Menu #KPDNHEP #kompaun #harga makanan
;