Op Manis dilanjutkan hingga 31 Julai - KPDN

Bernama
Julai 7, 2023 07:05 MYT
Op Manis yang dilancarkan pada 3 Mei lepas didapati berjaya memastikan bekalan dan pengedaran gula stabil selain mudah didapati pengguna pada harga yang ditetapkan kerajaan. - Gambar fail/Astro AWANI
PUTRAJAYA: Operasi membanteras aktiviti menyorok gula atau Op Manis, yang sepatutnya tamat pada 30 Jun lepas telah dilanjutkan hingga 31 Julai ini, kata Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam.
Azman berkata Op Manis yang dilancarkan pada 3 Mei lepas didapati berjaya memastikan bekalan dan pengedaran gula stabil selain mudah didapati pengguna pada harga yang ditetapkan kerajaan.
"Kita mahu pastikan rakyat tidak susah hati dan tidak berlaku pembelian panik," katanya pada sidang media berhubung pelaksanaan Op Manis dan Op Tiris di sini hari ini.
Kerajaan menetapkan harga kawalan runcit bagi gula kasar ialah RM2.85 sekilogram (sekg) dan RM2.95 sekg bagi gula halus. Harga gula putih bertapis jernih bagaimanapun tidak dikawal kerajaan sebaliknya ditentukan oleh pasaran.
Mengenai penguatkuasaan Op Manis bagi tempoh 3 Mei hingga 30 Jun lepas, Azman berkata sebanyak 20 kes direkodkan daripada 6,276 pemeriksaan yang dilaksanakan di seluruh negara.
Katanya antara kesalahan yang dikenal pasti ialah menjual gula melebihi harga kawalan dan memberi maklumat atau gambaran mengelirukan mengenai harga jualan gula.
Bagi Op Tiris pula, yang bertujuan membanteras aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi, Azman berkata sebanyak 3.36 juta liter bahan bakar itu yang bernilai kira-kira RM27.03 juta, dirampas melalui 7,625 pemeriksaan di seluruh negara dari 1 Mac hingga 5 Julai.
Beliau berkata pihaknya juga telah melakukan 282 tangkapan berhubung kesalahan penyelewengan minyak diesel melibatkan 220 warga tempatan dan 62 warga asing.
Menurutnya mereka boleh didakwa di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan jika didapati bersalah akan berhadapan tindakan penggantungan dan pembatalan lesen perniagaan serta dikenakan kompaun.
"Kami akan terus jalin kerjasama dengan pihak berkuasa khususnya di (pintu) sempadan negara untuk kurangkan aktiviti ketirisan minyak diesel yang merugikan negara serta menjejaskan bekalan untuk warga tempatan," katanya.
Azman berkata kira-kira 2,200 pegawai penguat kuasa KPDN ditugaskan di seluruh negara bagi menjayakan pelaksanaan Op Manis dan Op Tiris.
-- BERNAMA
#Op Manis #sorok gula #kpdn #pengedaran gula