Op Manis: 15,208 pemeriksaan dilaksana di seluruh negara

Bernama
Oktober 18, 2023 15:21 MYT
KPDN telah melaksanakan sejumlah 15,208 pemeriksaan melalui Op Manis di seluruh negara bagi membanteras aktiviti menyorok gula sejak 3 Mei lepas hingga semalam. - Foto Facebook KPDN
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan sejumlah 15,208 pemeriksaan melalui Op Manis di seluruh negara bagi membanteras aktiviti menyorok gula sejak 3 Mei lepas hingga semalam.
Ketua Setiausaha KPDN Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar berkata dalam tempoh itu juga, pihaknya menerima sebanyak 433 aduan dan merekodkan 46 kes melibatkan pelbagai kesalahan termasuk menjual melebihi harga kawalan, membungkus gula tanpa kebenaran Pengawal Bekalan serta memberi gambaran mengelirukan mengenai harga jualan gula.
"KPDN akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati terlibat di dalam aktiviti penyelewengan bekalan gula termasuk menjual gula putih bertapis kasar dan halus secara bersyarat, aktiviti menyorok bekalan gula serta menjual melebihi harga kawalan yang ditetapkan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga berkata Op Manis 2.0 yang dilanjutkan hingga 31 Dis selain memastikan tidak berlaku aktiviti menyorok gula oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengelakkan pembelian panik dalam kalangan pengguna yang boleh menyebabkan gangguan ke atas bekalan di pasaran.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga atau aktiviti penyelewengan barang kawalan boleh menyalurkan aduan ke aplikasi WhatsApp 019-279 4317/019-848 8000, portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my, pusat panggilan 1-800-886-800, e-mel kepada e-aduan@kpdn.gov.my atau Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.
-- BERNAMA
#kpdn #Op Manis #aktiviti menyorok gula #Mohd Sayuthi Bakar