Op Mabuk: Polis tahan dua lelaki memandu di bawah pengaruh alkohol

Dewi Nur Harasha Alias
April 25, 2021 11:02 MYT
Jurukimpal (kiri) dan juruteknik yang ditahan polis dalam Op Mabuk pagi ini. - Foto PDRM
BUTTERWORTH: Dua lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk ditahan polis dalam operasi yang dijalankan di Jalan Ong Yi How, di sini, pagi ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, pemeriksaan ke atas dua lelaki yang bekerja sebagai juruteknik dan jurukimpal mendapati, kedua-duanya berada di bawah pengaruh alkohol yang melebihi had ditetapkan.
Noorzainy berkata juruteknik yang berusia 35 tahun memandu kereta manakala jurukimpal yang berusia 50 tahun menunggang motosikal sewaktu ditahan polis dalam Op Mabuk tersebut.
"Ujian saringan awal menggunakan alat SD2+, dan hasil ujian mendapati kedua-duanya positif.
"Mereka berdua seterusnya dibawa balik ke Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Seberang Perai Utara untuk ujian pernafasan menggunakan alat EBAII.
"Hasilnya turut mendapati dua lelaki ini positif melebihi had yang ditetapkan,” katanya.
Noorzainy berkata, pihaknya akan terus membanteras pemandu mabuk kerana ia bukan sahaja mengundang bahaya pada diri sendiri tetapi juga pengguna jalan raya lain.
"Ada kemalangan berlaku berpunca daripada pemandu mabuk yang mengorbankan nyawa pengguna jalan raya yang tidak berdosa," katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi dan mengambil tindakan tegas ke atas pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had.
Kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#pemandu mabuk #polis #jalan raya #alkohol #melebihi had #bahaya #pengguna jalan raya #Noorzainy Mohd Noor #Op Mabuk #Seberang Perai Utara #juruteknik #jurukimpal #ujian pernafasan
;