Op Mabuk: 6 Individu ditahan, 240 saman dikeluarkan pada malam Deepavali

Dewi Nur Harasha Alias
November 4, 2021 12:44 MYT
Operasi bermula pada jam 11 malam dan berakhir pada jam 4 pagi. - Foto ihsan PDRM
GEORGE TOWN: Seramai enam individu ditahan Polis Pulau Pinang kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk yang di adakan di negeri itu pada malam sambutan perayaan Deepavali.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tangkapan dibuat selepas semua pemandu berusia 24 hingga 48 tahun yang diperiksa itu gagal ujian saringan pernafasan.
Semua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 45 (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.
Operasi yang bermula pada jam 11 malam dan berakhir jam 4 pagi itu diketuai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Zafri Zolkapli, membabitkan pemeriksaan ke atas 1,072 pengguna jalan raya membabitkan 945 kenderaan.
Selain itu Mohd Shuhaily berkata, sebanyak 240 saman juga dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.
"Statistik tangkapan Op Mabuk di negeri itu meningkat sebanyak 47 orang selepas kebenaran merentas negeri bermula 11 Oktober hingga 2 November.
Manakala hanya 18 tangkapan dibuat sebelum rentas negeri dibenarkan dari 20 September hingga 10 Oktober lepas," kata Mohd Shuhaily dalam kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, Mohd Shuhaily bersama dengan Timbalannya Datuk Fisol Salleh melakukan pemantauan di tujuh lokasi sekatan jalan raya di lima daerah negeri itu bersempena perayaan Deepavali malam tadi.
#mabuk #Deepavali #sama #Mohd Shuhaily Mohd Zain
;