Op Lancar 2024: Hampir 100,000 kenderaan memasuki LPT dalam tempoh dua hari
Bernama
Jun 16, 2024 18:00 MYT
Jun 16, 2024 18:00 MYT
KUALA NERUS: Sebanyak 91,700 kenderaan menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) sepanjang dua hari pelaksanaan Op Lancar Hari Perayaan Aidiladha 2024.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata terdapat pertambahan kemasukan antara 40 hingga 60 peratus kenderaan pada 14 dan 15 Jun lepas berbanding pada hari biasa namun aliran trafik masih lancar.
Beliau berkata 50 anggota trafik dari kontinjen Terengganu ditugas mengawal lalu lintas dengan bantuan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
"Aliran trafik sempena perayaan Aidiladha ada sedikit tambahan. Biasa 20,000 kenderaan sehari tetapi setakat hari ini dah lebih 50,000.
"Bagaimanapun aliran trafik masih lancar dan stabil. Semalam jumlah kenderaan memuncak, tetapi setakat hari ini terkawal," katanya ketika meninjau aliran trafik LPT2 di Plaza Tol Kuala Terengganu, di Gemuruh, dekat sini hari ini.
Mohd Khairi berkata sebanyak empat kematian melibatkan kemalangan jalan raya direkodkan dalam tempoh dua hari Op Lancar di Terengganu yang bermula pada 14 hingga 17 Jun.
Menurutnya, jumlah itu menunjukkan peningkatan satu kes berbanding tiga kes yang direkod sepanjang Op Lancar 2023.
"Oleh itu saya nak ingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada ketika memandu. Sentiasa peka dengan papan tanda di LPT bagi mengelak sebarang kecelakaan," katanya.
Sementara itu Pengurus Wilayah LPT2 Suhaimi Samat berkata tiga lorong tambahan dibuka dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuala Terengganu bagi memastikan kelancaran trafik.
Katanya, pihak LPT2 menjangkakan terdapat pertambahan trafik antara 45,000 hingga 60,000 kenderaan pada musim perayaan Aidiladha tahun ini.
-- BERNAMA