Op Khas Pagar Laut, kawalan sempadan dipertingkat
Adie Sufian Zulkefli
April 26, 2022 09:20 MYT
April 26, 2022 09:20 MYT
KUALA PERLIS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Perlis mempertingkatkan kawalan sempadan negara bertujuan bagi memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan (cross border crime).
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, pihaknya sentiasa komited dalam melaksanakan tugas di perairan negara terutamanya di sempadan Malaysia - Thailand.
Beliau berkata, setiap sempadan perairan negara sentiasa dikawal ketat dengan mengoptimumkan pengoperasian aset di laut ketika bulan Ramadan dan Syawal melalui Operasi Khas Pagar Laut siri 1/2022 (Op Khas Pagar Laut) bermula 19 April hingga 17 Mei 2022.
Katanya, sepanjang bulan Ramadan ini pihaknya telah menukar waktu rondaan memandangkan kegiatan penyeludup sering mengambil kesempatan pada waktu berbuka puasa.
"Modus operandi yang diguna pakai oleh penyeludup ni mereka beranggapan apabila bulan puasa penguat kuasa ini di siang harinya telah penat berpusa dan sebelah malamnya diselitkan dengan program-program tarawih mereka menganggap di laut tidak ada penguat kuasa.
"Aktiviti-aktiviti mereka dijalankan seperti biasa malah beranggapan aktiviti ini lebih rancak memandangkan permintaan yang tinggi terhadap daun ketum di negara Thailand," katanya.
Sepanjang tempoh Januari sehingga 20 April, Maritim Malaysia Negeri Perlis telah merampas 475,516 kilogram ganja bernilai RM2.38 juta.
Manakala daun ketum melibatkan rampasan 5.5 tan dengan nilai hampir RM1 juta.
Menurut Mohd Hashim, pihaknya turut mendekatkan diri dengan komuniti nelayan bagi menjadikan mereka sebagai mata dan telinga Maritim Malaysia supaya menyalurkan maklumat sekiranya ternampak aktiviti mencurigakan di laut.
Katanya, sekiranya ternampak aktiviti jenayah dan kecemasan di laut mereka boleh segera melaporkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.