Op Kesan Perkeso ke-13 bermula 1 Jun depan
Rahimah Abdullah
April 27, 2022 14:07 MYT
April 27, 2022 14:07 MYT
KUALA LUMPUR : Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan melancarkan Op Kesan Perkeso ke-13 bermula 1 Jun depan selepas tertangguh selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.
Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Datuk Aziz berkata, ia bagi memastikan setiap majikan yang menggaji sekurang-kurangnya seorang pekerja perlu mendaftar dan mencarum dengan pertubuhan itu.
"Dua tahun kita tidak dapat mengadakan Op Kesan dan tahun ini Op Kesan ke-13 adalah bagi memastikan setiap majikan yang menggaji sekurang-kurangnya seorang pekerja perlu mendaftar dan mencarum dengan Perkeso, yang mana ini adalah berdasarkan kepada peruntukan di bawah Sekyen 4 dan 5 Akta Keselamatan Pekerja 1969 (Akta 4), dan Seksyen 14 dan 16 Akta Skim Insurans Pekerjaan (Akta 800).
"Kita juga melaksanakan, menjaga kebajikan mereka bekerja sendiri berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789)," katanya dalam sidang media di ibu negara pada Rabu.
Justeru, semua majikan yang belum mendaftar dan mencarum pekerja mereka digesa berbuat demikian dalam tempoh pemulihan bermula 1 hingga 31 Mei depan.
"Untuk itu saya harap dalam tempoh pemutihan ini, antara 1 Mei hingga 31 Mei, semua majikan yang menggaji sekurang-kurangnya seorang pekerja , pekerja domestik, pekerja asing, mereka bekerja sendiri di bawah sektor pengangkutan dan e-hailing wajib mendaftar dan mencarum.
"Pada 1 Jun 2022 ini kalau majikan gagal lakukannya, kita akan laksanakan Op Kesan seluruh negara untuk kesan mereka. Kalau gagal berbuat demikian, kita akan dikompaun dan kalau gagal bayar kompaun, mereka boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan mereka boleh didenda RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.
Sehingga 31 Mac lalu, seramai 527,659 majikan aktif telah berdaftar dengan Perkeso.
Seramai 8.74 juta pekerja direkodkan telah mendapat perlindungan selepas didaftar dan dicarum oleh majikan.
Selain itu bermula 1 Julai 2020 , pekerja asing telah diwajibkan untuk mendaftar di bawah Akta 4.
"Sebelum fasa pandemik, seramai dua juta pekerja asing telah didaftar di bawah Akta 4 dan mereka ini juga terlindung di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969," ujarnya.
Bermula 1 Jun 2021, Perkeso juga telah memperluaskan perlindungan Akta 4 kepada pekerja domestik.
Katanya, setakat 22 April lalu, lebih 90,000 pekerja domestik dilaporkan masih belum mendaftar dan mencarum dengan Perkeso.
"Kita mendapati 100,000 pekerja domestik yang ada di luar sana, namun sehingga kini, sehingga 22 April, hanya 7,793 sahaja mereka yang berdaftar dan mencarum. Hampir lebih 90,000 pekerja domestik ini sama ada pemandu peribadi, tukang kebun, pembantu rumah tempatan dan lain-lain, majikan mereka masih belum mendaftar dan mencarum.
"Jadi Op Kesan bukan hanya nak pastikan majikan patuh kepada Akta 4, Akta 800, kita juga nak kesan mereka yang mengambil pekerja domestik dan juga mengambil pekerja asing dan mereka yang bekerja sendiri.