Op Kekal Warisan: TLDM pintas bot nelayan Vietnam ceroboh perairan negara
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 18, 2022 11:20 MYT
Oktober 18, 2022 11:20 MYT
LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menahan sebuah bot nelayan Vietnam kerana menceroboh Zon Maritim Malaysia (ZMM), kira-kira 30 batu nautika utara Pulau Tioman, lewat petang semalam.
Menurut Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat di sini, kejayaan itu adalah hasil maklumat yang dikongsi rakan maritim Endau-Rompin.
Katanya, hasil maklumat itu, TLDM berjaya mengesan enam bot nelayan Vietnam yang kesemuanya cuba melarikan diri ke arah utara sejurus menyedari kehadiran aset TLDM.
“KD Pendekar yang sedang melaksanakan Rondaan ZMM dan Op Kekal Warisan berjaya memintas dan menahan sebuah bot terhampir, serta melaksanakan penggeledahan ke atas bot tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, terdapat 14 awak-awak warga Vietnam di atas bot berkenaan yang kesemuanya tiada dokumen yang sah.
Tambahnya, hasil pemeriksaan juga menemui sebanyak lapan peti simpanan yang penuh dengan hasil laut, dianggarkan bernilai RM1.5 juta.
Katanya, maklumat tersebut telah disalurkan kepada pihak Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) iaitu KM Marudu untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.
Dalam masa sama, ujarnya, aset TLDM meneruskan rondaan bagi mengesan kesemua bot nelayan Vietnam yang dipercayai telah keluar dari ZMM.