Op JTK: Majikan gagal sediakan penginapan selesa, tidak mohon perakuan penginapan

Astro Awani
April 27, 2022 15:12 MYT
Menurut Mohd Asri, kesalahan yang paling ketara adalah majikan tidak ada perakuan penginapan pekerja. - Astro AWANI
GEORGE TOWN: Gagal menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk pekerja serta tidak membuat permohonan perakuan penginapan terhadap pekerja, adalah antara kesalahan dilakukan dalam kalangan majikan di Pulau Pinang.
Kesalahan itu dikesan dalam operasi memerangi buruh paksa yang dijalankan secara bersepadu oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) bersama beberapa agensi penguatkuasaan lain di dua buah kilang di Pusat Perindustrian Bagan Lalang di daerah Seberang Perai Utara (SPU) hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Mohd Asri Abdul Wahab berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua majikan terbabit gagal menyediakan kemudahan sewajarnya kepada 34 pekerja terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar.
"Operasi hari ini ada dibuat di dua tempat, satu kita buat di kilang membuat cerucuk besi. Tuan-tuan boleh tengok sendiri kawasan penginapan yang amat daif.
"Sebab apa kita kata begitu? Sebab dalam elemen buruh paksa ini ada 11 elemen kesalahan, iaitu salah satunya adalah tempat penginapan yang tidak kondusif," ujarnya yang memberi contoh tentang persekitaran inap yang berlubang dan juga dikerumuni nyamuk.
Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, pihaknya mendapati majikan memberi alasan tidak munasabah berkaitan perakuan penginapan dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 24D dan Akta 446.
"Sini banyak kesalahan. Contoh tadi di tempat pertama, kesalahan yang paling ketara adalah majikan tidak ada perakuan penginapan pekerja. (Majikan) tidak datang kepada kita untuk mohon perakuan. Perakuan ini sebenarnya macam sijil. Kita akan keluarkan sijil, ia mudahnya macam lesen. Kalau ada lesen awak dah boleh buat kerja.
"Perakuan ini daripada Jabatan Tenaga Kerja di bawah Akta 446 yang sepatutnya perlu dipatuhi, contohnya seperti (penyediaan) tilam setebal 4 inci, almari berkunci, penyelia dan tandas. Tapi di sini (kilang yang diperiksa) semua itu tidak ada, maka kita boleh dakwa mereka di bawah Seksyen 24D dan Peraturan 446," jelasnya.
Sehubungan itu, Mohd Asri berkata, JTK Pulau Pinang membuka enam kertas terhadap majikan terlibat berkaitan beberapa kesalahan yang telah dikenalpasti.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan tindakan denda maksimum sebanyak RM50,000 bagi setiap kesalahan.
Sementara itu, Mohd Asri berkata, sejak Februari 2021 sehingga 20 April 2022, JTKM sudah membuat pemeriksaan ke atas 42,572 majikan melibatkan 175,876 penginapan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 1,401 kertas siasatan telah dibuka dengan 148 telah diambil tindakan pendakwaan melibatkan jumlah denda sebanyak RM1.052 juta manakala sebanyak 968 kertas siasatan lagi dikenakan kompaun berjumlah RM10.81 juta.
Dalam pada itu pihak JTKSM memberi peringatan kepada majikan di seluruh Malaysia agar mematuhi segala peraturan ditetapkan dan memastikan tiada elemen buruh paksa dibuat terhadap pekerja masing-masing.
#majikan #penginapan pekerja #Perakuan Penginapan #kebajikan #JTK
;