Op Hiburan: 22 dikompaun RM150,000 ingkar SOP

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 29, 2021 23:44 MYT
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam operasi itu, 12 lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga China turut didapati positif dadah. - Gambar fail/BERNAMA
IPOH: Seramai 22 individu warga tempatan dikenakan kompaun berjumlah RM150,000 dalam Op Hiburan dan Op COVID-19 yang dijalankan di sebuah pusat hiburan di Bandar Baru Medan Ipoh di sini, awal pagi ini.
Dalam operasi itu, 12 lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga China turut didapati positif dadah.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam operasi kira-kira jam 1 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ipoh telah memeriksa 24 individu, termasuk tiga wanita tempatan dan dua wanita warga China di pusat hiburan berkenaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala dua warga China turut disiasat di bawah Seksyen 6(1) (C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, 22 warga tempatan itu dikenakan kompaun di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB).
Beliau berharap dengan adanya operasi seumpama itu, ia dapat mengurangkan kebimbangan masyarakat terhadap ancaman penagihan dan pengedaran dadah di kawasan setempat serta jangkitan COVID-19.
“Pihak polis memberi peringatan tegas kepada semua pemilik pusat hiburan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerana aktiviti pusat hiburan masih tidak dibenarkan beroperasi di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 negeri Perak,” ujarnya.
Katanya, kejayaan operasi itu adalah hasil kerjasama erat antara masyarakat dengan agensi penguatkuasa, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, PDRM Perak akan memperhebatkan operasi membenteras aktiviti penagihan, penyeludupan dan pengedaran dadah di samping memastikan keselamatan masyarakat terpelihara.
#Op Hiburan #pusat hiburan #kompaun #Bandar Baru Medan #warga china #Mior Faridalathrash Wahid #Pelan Pemulihan Negara #PPN #COVID-19
;