Op Hazard: NRES periksa 47 premis, sita 15,764.9 tan metrik sisa elektrik, elektronik

Faida Rahim
Mac 6, 2025 11:25 MYT
Nik Nazmi berkata banyak premis-premis tersebut berada di kawasan industri dan terdapat juga di luar kawasan industri seperti di tanah rizab, ladang kelapa sawit dan kawasan hutan. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak 15,764.90 tan metrik (MT) sisa elektrik, elektronik (e-waste) yang dianggarkan bernilai RM55 juta disita dalam Op Hazard di seluruh negara,
Operasi yang dilaksanakan serentas hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) melibatkan pemeriksaan ke atas 47 premis.
Menteri Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad memberitahu, pemeriksaan mendapati bahawa 30 premis beroperasi secara haram, tujuh premis merupakan premis barang lusuh, enam premis berlesen di bawah JAS, tiga premis berlesen di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan satu gudang haram.
"Banyak premis-premis tersebut berada di kawasan industri dan terdapat juga di luar kawasan industri seperti di tanah rizab, ladang kelapa sawit dan kawasan hutan. Premis-premis ini kebanyakannya beroperasi secara haram dan tidak dilesenkan oleh PBT.
"Operasi kilang-kilang ini didalangi oleh warganegara asing yang menggunakan tenaga kerja daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) atau pekerja yang menyalahgunakan permit kerja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (Setiu) meminta penjelasan tindakan tegas yang telah diambil oleh Kementerian dalam membanteras penyeludupan e-waste ke dalam negara, susulan serbuan besar-besaran ke atas kilang haram memproses sisa elektronik di beberapa negeri baru- baru ini di Dewan Rakyat pada Khamis.
Kesemua premis yang terlibat telah disiasat di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) (Akta 127), yang merangkumi pelbagai kesalahan antaranya gagal mematuhi syarat lesen yang ditetapkan (Seksyen 16, AKAS 1974), menjadi kemudahan penstoran luar tapak buangan terjadual tanpa lesen JAS (Seksyen 18, AKAS 1974) dan gagal mengemukakan kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar (Seksyen 19, AKAS 1974).
Ini termasuk kegagalan mengemukakan laporan kajian EIA (Seksyen 34A) dan menempatkan buangan terjadual tanpa kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar (Seksyen 34B).
#Dewan Rakyat #pbt #Nik Nazmi #E waste
;