Op Global: Seorang lagi ahli GISB akan didakwa esok

Astro Awani
September 25, 2024 21:28 MYT
Razarudin berkata pertuduhan terhadap lelaki terbabit akan dibuat di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor. - Gambar fail/AStro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang juga ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) akan didakwa pada esok pagi atas tuduhan mendera kanak-kanak ketika di bawah jagaan salah sebuah rumah amal yang dikaitkan dengan syarikat itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pertuduhan terhadap lelaki terbabit akan dibuat di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor.
“Kita akan tuduh suspek esok yang dikaitkan dengan video tular mendera kanak-kanak di bawah rumah amal dikaitkan dengan GISB,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, satu jemputan media telah dikeluarkan Bukit Aman malam ini.
Berdasarkan makluman berkenaan, pendakwaan akan dilakukan di mahkamah tersebut pada pukul 8.45 pagi mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Pada 16 September lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan berhubung rakaman video memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai didera.
Polis mengesan kanak-kanak lelaki terbabit dalam kalangan mangsa yang berjaya diselamatkan dan mangsa dipisahkan dengan bapanya sejak 2021.
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi satu minit sembilan saat memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai didera tular di media sosial.
Dalam rakaman video itu, kanak-kanak lelaki terbabit dilihat mengerang kesakitan ketika disoal beberapa kali oleh seorang lelaki dewasa.
#GISB #Mahkamah Sesyen #PDRM #media sosial
;