Op Global: PDRM beku 96 akaun GISBH, nilai lebih RM581,000

Ridauddin Daud
September 17, 2024 11:40 MYT
Razarudin bercakap pada sidang media berhubung perkembangan Op Global yang diadakan di Mess Pegawai Kanan Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membekukan 96 akaun milik Global Ikhwan Service and Business Holding (GISB) dengan nilai melebihi RM581,000.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, arahan untuk menyita lapan buah kenderaan syarikat berkenaan juga telah dikeluarkan.
“Sehingga kini, pembekuan aset yang dibuat AMLA, sebanyak 96 akaun melibatkan GISB yang kita kenal pasti dan jejak.
“Yang mana jumlah kita bekukan aset ini adalah RM581,552.31 telah dibekukan di bawah Seksyen 42 AMLAFTPUAA 2001.
"Empat akaun juga telah ditutup. Lapan buah kenderaan juga kita telah keluarkan perintah untuk disita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media berhubung perkembangan Op Global yang diadakan di Mess Pegawai Kanan Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Razarudin memaklumkan sebanyak 33 kertas siasatan dibuka menerusi siasatan Fasa Satu dan Fasa Dua Op Global.
“Jumlah keseluruhan rakaman percakapan yang telah dijalankan Op Global adalah sebanyak 740 melibatkan pengadu (30), saksi (216), mangsa (392) dan suspek (102),” ujarnya.
Berkenaan mangsa pula, seramai 149 kanak-kanak berumur satu hingga 10 tahun diberikan perintah jagaan sementara di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Baki mangsa kanak-kanak seramai 243 orang masih ditempatkan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur dan akan dipindahkan ke pusat jagaan secara berperingkat.
“Siasatan sedang kita lakukan. Memang siang dan malam. Kita tentukan bahawa siasatan ini telus dan adil.
“Kita juga tentukan bahawa tindakan ini dibuat secara adil dan yang patut mendapat hak itu akan mendapat haknya,” tegas beliau.
#Razarudin Husain #GISB #beku akaun #Op Global
;