Op Global: Nancy dijangka beri sesi penerangan di Dewan Rakyat esok

Hasimi Muhamad
Oktober 14, 2024 20:15 MYT
Nancy dijangka memberikan penerangan berhubung kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal yang dikaitkan dengan GISB di Dewan Rakyat esok - Foto fail
KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dijangka memberikan penerangan berhubung kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holding, baru-baru ini.
Menurut Pengarah Jabatan Pembangunan Kanak Kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Dr Sopian Ibrahim, sesi penerangan tersebut akan dibuat pada persidangan Dewan Rakyat esok.
"Perincian akan diuar-uar seawal pagi esok semasa sesi (sidang Parlimen)," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.
Dalam pada itu, Sopian menegaskan semua kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global berada dalam keadaan selamat di bawah jagaan agensi tersebut dan ditempatkan di rumah perlindungan bawah JKM di seluruh negara.
"Alhamdulillah setakat ini mereka dijaga dengan baik seperti mana kenyataan YB Menteri tentang anak-anak dalam jagaan kita.
"Insya-Allah segalanya mengikut prosedur dan perundangan yang kita perlu akur di bawah Akta Kanak-Kanak contohnya, di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak.
"Jadi akan ada penerangan terperinci oleh YB Menteri (berhbung perkara itu)," tambah beliau.
Ujar beliau lagi, terdapat institusi yang digazetkan sebagai tempat selamat untuk menempatkan kanak-kanak yang diperintah oleh mahkamah untuk dijaga.
Semalam, seramai 96 ibu bapa kepada 174 kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISB memohon anak mereka dipulangkan semula ke pangkuan keluarga masing-masing berikutan sudah hampir lebih sebulan tidak berjumpa.
Jurucakap Gerakan Pulangkan Anak-Anak Kami (GPAAK), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa, kanak-kanak terbabit "dirampas dan disembunyikan" secara tidak sah dari segi undang-undang.
Pada 12 Oktober lalu, Nancy berkata pihaknya tidak berniat untuk memisahkan kanak-kanak berkenaan daripada ibu bapa mereka dan langkah yang diambil adalah mengikut lunas undang-undang.
Beliau berkata, daripada 660 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global, 559 daripada mereka mendapat perintah mahkamah untuk mendapat penjagaan dan perlindungan di bawah JKM bermula Oktober hingga Disember ini.
#GISB Holdings #Dewan Rakyat #Nancy Shukri #GISB #Kanak-kanak
;