Op Global: Kronologi kes GISB setakat 29 Sept

Bernama
September 30, 2024 08:00 MYT
Seorang mudir yang dikaitkan dengan GISB disambung reman selama tiga hari bermula hari ini (30 Sept). Permohonan reman dibuat di hadapan Majistret Amal Razim Alias di Mahkamah Majistret Machang, 29 Sept 2024. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Op Global yang dilaksanakan bagi membanteras kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban agama yang dikaitkan dengan GlSB Holdings Sdn Bhd (GISB) kini memasuki fasa empat.
Sejak Op Global fasa pertama bermula pada awal September, lebih 300 orang termasuk pengurusan tertinggi GISB ditahan, 572 mangsa diselamatkan serta lapan individu telah dituduh di mahkamah atas 33 pertuduhan.
Berikut adalah kronologi kes yang dikemas kini dari 28-29 Sept 2024:
28 Sept
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dalam kenyataan media hari ini berkata pihaknya sedang menyiasat dakwaan dibuat melalui akaun Facebook Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS), mengenai kewujudan pusat kuarantin GISB di beberapa lokasi dalam dan luar negara.
Beliau berkata pusat kuarantin itu dipercayai digunakan untuk aktiviti indoktrinasi serta penderaan mental terhadap ahli GISB yang bermasalah.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Fatwa MKI), hanya akan mengeluarkan pandangan hukum mengenai GISB dan bukan fatwa.
Beliau berkata fatwa berkaitan GISB akan diputuskan oleh setiap negeri di negeri masing-masing.
Selain itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang berkata sebahagian kanak-kanak penghuni rumah amal dikaitkan dengan GISB, berdepan risiko diisytihar anak wati' syubhah, iaitu anak yang lahir daripada persetubuhan tidak sah jika tiada pengakuan nasab yang sahih daripada ibu bapa mereka.
Beliau berkata dalam undang-undang syariah khususnya melalui Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 menetapkan bahawa, pengiktirafan nasab seseorang anak bergantung kepada status pernikahan ibu dan bapa.
Di Selangor, permohonan polis untuk mereman tujuh individu berusia 18 hingga 55 tahun selama tujuh hari, bagi membantu siasatan berkaitan kes GISB dibenarkan Mahkamah Majistret Shah Alam, di sini hari ini.
Kesemua mereka dipercayai empat isteri pemimpin kanan GIBSH, dengan seorang daripadanya warga asing serta dua wanita dan seorang lelaki, ditahan di sekitar Rawang, pada Jumaat malam.
Dalam pada itu, Ketua Divisyen Kutipan Lembaga Zakat Selangor (LZS) Mohd Fikri Naim Harun mengesahkan LZS tidak pernah menerima sebarang jenis bayaran zakat daripada GISB dan anak syarikatnya.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pula berkata Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil tindakan dengan mengarahkan semua premis GISB di negeri ini ditutup, serta merampas segala aset syarikat berkenaan.
29 Sept
Di Selangor, tempoh reman dua individu berumur dalam lingkungan 50-an termasuk seorang dipercayai berperanan sebagai pengendali aliran tunai untuk GISB yang tamat hari ini, dilanjutkan selama lima hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret Shah Alam, di sini.
Di Kelantan, Mahkamah Majistret Machang membenarkan tempoh reman terhadap seorang mudir sebuah sekolah rendah integrasi berusia 66 tahun yang dikaitkan dengan GISB disambung tiga hari bermula esok (30 Sept) bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Dalam pada itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata tiada ahli PAS Kelantan terlibat dengan GISB atau Al-Arqam, dan menegaskan kedua-dua entiti tersebut adalah berbeza.
-- BERNAMA
#Op Global #GISB #kronologi #Razarudin Husain
;